Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIER unjur pertumbuhan KDNK 4.5 peratus pada 2017
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 4:05 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.5 peratus tahun ini berbanding anggaran pertumbuhan 4.2 peratus yang dibuat bagi 2016.

Pengarah Eksekutif, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata unjuran itu berasaskan imbangan perdagangan negara yang baik pada September, Oktober dan November tahun lepas, masing-masing pada RM6.6 bilion, RM9.8 bilion dan RM9 bilion.

"Sekiranya momentum imbangan perdagangan ini berterusan, akan ada harapan untuk Malaysia mencatat prestasi lebih baik pada 2017," katanya semasa mengumumkan Kemas Kini Unjuran Ekonomi Malaysia Suku Keempat 2016.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2017 telah disemak turun kepada 4.5 peratus daripada unjuran awal antara 4.5 dan 5.5 peratus.

Zakariah berkata memandangkan saiz ekonomi Malaysia agak kecil, ia dijangka bergantung kepada prestasi persekitaran luaran termasuk dasar presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu dipilih Donald Trump, proses Brexit dan ekonomi China yang lembap.

"Dunia sekarang ini dipengaruhi ketidaktentuan seperti perkara tersebut dan kita tidak pasti bagaimana untuk bergerak ke hadapan terutama ketika sentimen dasar perlindungan di negara-negara membangun semakin mendapat momentum," katanya.

Zakariah berkata, bagi 2017, permintaan domestik akan terus menjadi pemacu pertumbuhan namun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 4.6 peratus (unjuran awal: 5.0 peratus).

Penggunaan swasta dan pelaburan masing-masing dijangka berkembang secara sederhana sebanyak 5.5 peratus dan 6.0 peratus (unjuran awal masing-masing 5.6 peratus dan 6.6 peratus).

Zakariah juga berkata kadar inflasi pada 2017 berkemungkinan lebih tinggi daripada 2.1 peratus yang dicatatkan pada 2016 disebabkan perbelanjaan pengguna yang tinggi.

Beliau menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.0 peratus tahun ini memandangkan usaha yang dilaksanakan bank pusat pada tahun lepas adalah memadai.

Mengenai ringgit, beliau berkata ia akan kekal antara 4.4 dan 4.5 berbanding dolar AS tahun ini, sekiranya tiada faktor ketara yang boleh menjejaskan lagi nota tempatan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS