Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Geng pecah tabung masjid diberkas
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 6:16 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Enam lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam tujuh kes pecah tabung masjid di daerah Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata semua suspek berusia 25 hingga 32 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar Taman Seri Muda di sini, Isnin lepas.

"Polis merampas dua motosikal dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu.

"Pelbagai alatan turut dirampas dipercayai digunakan untuk mencuri wang dari tabung masjid seperti pemutar skru dan dawai penyangkut baju," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak dua bulan lepas, katanya.

Menurut Shafien, penahanan itu dibuat susulan tangkapan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai anggota kumpulan terbabit oleh beberapa anggota jawatankuasa Masjid Munawarah Seksyen 27 di sini, kira-kira jam 4.30 pagi 30 Disember lepas ketika suspek sedang melakukan perbuatan jenayah itu.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan dawai penyangkut baju yang diletakkan gam di bahagian hujung untuk mengorek keluar wang dari tabung masjid.

"Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek turut mendapati mereka positif dadah," katanya.

Tambah Shafie, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS