Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk serah memo bantah bina kubur Cina
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 7:04 PM
Dikemaskini: Jan 20, 2017 5:10 AM

Penduduk dari lima kampung di Kuala Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membantah cadangan projek pembinaan tanah perkuburan Cina di Kampung Felda Bukit Cerakah, dalam daerah itu.

Memorandum tiga muka surat yang turut disertakan kira-kira 2,000 tanda tangan penduduk kampung berkenaan diserahkan wakil mereka, Azhari Saein kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Mohd Shahrizal Mohd Salleh di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di Shah Alam.

Lima kampung yang membantah projek itu ialah Kampung Bukit Kapar, Kampung Bukit Kapar Tambahan, Kampung Bukit Kerayong, Kampung Felda Bukit Cherakah dan Bandar Puncak Alam.

Menurut Azhari, 41, penyerahan memorandum itu adalah susulan demonstrasi bantahan penduduk kampung minggu lepas yang langsung tidak mendapat maklum balas pihak terlibat menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk memohon perhatian terus dari Mohamed Azmin.

"Penduduk kampung amat harapkan menteri besar segera tangani perkara ini, lebih baik batalkan, demi kebaikan semua... kami tidak halang pembangunan lain tapi bukan bina jirat Cina," katanya kepada pemberita di Shah Alam.

Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin Selangor, S Hassan Kuthoos Syed Ahmed Kabeer pula menyatakan Mohamed Azmin perlu menyelesaikan segera perkara itu kerana melibatkan sensitiviti kaum dan bukan hanya turun padang apabila tiba musim pilihan raya.

Katanya bantahan pembinaan tanah perkuburan Cina itu yang dilakukan penduduk minggu lepas sepatutnya diambil perhatian serius kerana 95 peratus komposisi kaum di lima buah kampung terlibat adalah Melayu.

"Apa relevannya pembinaan jirat Cina di kampung tradisi Melayu yang sudah bertapak hampir 100 tahun ini? Isu siapa pemilik tanah bukan hal kami cuma kami mahu kerajaan negeri perhalusi kerja-kerja yang dilakukan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS)," katanya.

Dakwa S Hassan Kuthoos, MDKS, selaku pihak berkuasa yang memberi kebenaran pembinaan, langsung tidak menguar-uarkan lebih awal kepada penduduk kampung mengenai cadangan berkenaan sehinggalah proses pembersihan tanah dilakukan syarikat terlibat.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan penduduk kerana tapak projek seluas kira-kira 93.07 hektar (230 ekar) itu terletak di tengah-tengah lima buah kampung tersebut, katanya.

"Jika penduduk kampung ini setengah Melayu setengah Cina, kami tidak kisah namun hampir majoriti Melayu... kami amat harap menteri besar datang sini dan lihat sendiri keadaannya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS