Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RRC: Jika M'sia tarik balik, S'pura pun tarik balik
Diterbitkan:  Jan 20, 2017 5:59 AM
Dikemaskini: 10:20 PM

Singapura akan menarik balik Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) jika Malaysia menarik balik Caj Jalan Rayanya, atau melaksanakan caj itu tanpa diskriminasi, menurut Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT).

Menurut MOT, Malaysia hendaklah melaksanakan tanpa diskriminasi Caj Jalan Rayanya di semua sempadan daratan pada kos yang sama dan ke atas semua kenderaan bukan berdaftar di Malaysia.

"Kita sejak dahulu lagi mengamalkan dasar memadankan sebarang levi, tol dan bayaran yang dikenakan oleh Malaysia kerana menggunakan jalan raya yang menghubungkan Singapura dengan Malaysia," kata MOT.

Format soalan dan jawapan berkaitan Caj Jalan Raya Timbal Balas dimuat naik dalam portal www.gov.sg di bawah segmen "Faktual" untuk topik "Pengangkutan dan Pemotoran".

Portal itu merupakan platform komunikasi dalam talian rasmi Kerajaan Singapura, yang memaklumkan kepada orang ramai mengenai pengumuman dasar terkini, maklumat dan berita mengenai Singapura.

MOT berkata Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang diperkenalkan Singapura dan Caj Jalan Raya Malaysia mempunyai perbezaan fundamental.

Menurut MOT, Caj Jalan Raya Malaysia ialah levi yang dikenakan ke atas semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui Johor pada sepanjang masa.

Sebaliknya, VEP Singapura diperkenalkan untuk menyamakan kos pemilikan dan menggunakan kenderaan atau motosikal asing di Singapura, dengan kos memiliki dan menggunakan kereta atau motosikal berdaftar di Singapura.

"Ini perlu untuk memastikan keadilan, kerana kenderaan berdaftar di Singapura tertakluk kepada kos yang berbeza secara ketara daripada kenderaan asing seperti premium Sijil Hak Milik (COE) dan cukai kenderaan," kata MOT.

MOT berkata konsesi juga diberikan di bawan skim VEP.

"Semua kenderaan dan motosikal asing menikmati 10 hari bekerja waktu bebas VEP. Bayaran VEP juga tidak dikenakan jika kenderaan masuk dan keluar Singapura pada hujung minggu dan cuti umum, atau selepas waktu kerja (5 petang hingga 2 pagi) pada hari bekerja, 'katanya.

Singapura pada 16 januari mengumumkan bahawa semua kenderaan asing perlu membayar Caj Jalan Raya Timbal Balas sebanyak S$6.40 setiap kali apabila memasuki republik itu melalui Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands mulai 15 Februari 2017.

VEP Singapura menyamai Caj Jalan Raya Malaysia sebanyak RM20 (kira-kira S$6.50) bagi sekali masuk ke atas kenderaan asing yang memasuki Johor, yang dilaksanakan pada 1 November 2016.

- Bernama

Lihat Komen
ADS