Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'RM500 juta dikeluarkan dari Tabung Haji angkara fitnah'
Diterbitkan:  Jan 20, 2017 3:56 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mendedahkan sebanyak RM500 juta wang simpanan dikeluarkan dari Tabung Haji (TH) sepanjang tahun lalu berikutan pelbagai fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap institusi itu.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab dilakukan wakil rakyat pembangkang menyebabkan 3,600 pendeposit menarik diri daripada pergi mengerjakan ibadah itu.

"Fitnah ini menyebabkan pendeposit melakukan tindakan itu, malah dalam ruang untuk alasan disediakan (dalam borang) mereka menulis 'saya hilang kepercayaan kepada Tabung Haji'," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online hari ini.

"Bayangkan kalau duit TH dilabur dalam bentuk aset seperti rumah, kilang dan tanah, mana kita cari tunai (untuk pulangkan wang kepada pendeposit), nasib baik kita ada tunai yang mampu tampung," katanya.

Walaupun laporan itu tidak menyebut sebarang nama, namun adalah dipercayai ia merujuk kepada kenyataan ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Rafizi pada akhir tahun lalu mendakwa penyata kewangan Tabung Haji berakhir 31 Disember 2015 yang dianalisisnya menunjukkan bahawa badan itu tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar balik semua pendeposit sekiranya mereka mengeluarkan wang sekali gus.

Naib Presiden PKR itu mengunjurkan bahawa Tabung Haji akan kekurangan RM3 bilion jika semua pendeposit berbuat demikian sedangkan katanya, untung sebenar pelaburan Tabung Haji hanya pada RM450 juta.

Malah, beliau juga mendedahkan dirinya mengeluarkan sejumlah RM530,000 dari akaun TH miliknya.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Johan Abdullah menafikan kenyataan Rafizi dan berkata pihaknya mempunyai nilai aset yang boleh direalisasikan berjumlah RM64.74 bilion berbanding liabiliti kepada pendeposit sebanyak RM59.33 bilion.

Katanya, TH masih mempunyai lebihan sebanyak RM1.44 bilion jikalau mengembalikan semua dana pendeposit.

Lihat Komen
ADS