Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BAKTI sumbang RM88,000 kepada mangsa banjir
Diterbitkan:  Jan 20, 2017 4:01 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) hari ini menyampaikan sumbangan kira-kira RM88,000 kepada 437 keluarga di beberapa kampung yang dilanda banjir dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap hari ini.

Sebanyak 10 buah kampung yang terjejas, iaitu Kampung (Kg) Pelong, Kg Sungai Tong, Kg Langkap, Kg Banggol Stor, Kg Bukit Nenas, Kg Tayor Tengah, Kg Desa Jaya, Kg Pok Ba, Kg Bukit Nyior dan Kg Tok Nandung.

Sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan harian itu disampaikan oleh isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut mengiringi beliau ke majlis itu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria, ADUN Langkap, Datuk Sabri Mohd Nor serta isteri wakil-wakil rakyat Terengganu.

Dalam kunjungan kira-kira sejam itu Rosmah berkesempatan beramah mesra dengan penduduk kampung dan bertanya khabar serta mendengar keluh kesah mangsa banjir yang mengalami kerugian harta benda dalam bencana itu baru-baru ini.

Sabri ketika ditemui pemberita berkata selain sumbangan yang diberikan BAKTI, kerajaan negeri juga menghulurkan bantuan segera berumlah RM11,000 bagi membaiki tiga buah rumah penduduk yang rosak teruk akibat banjir di Kampung Pelong.

Seorang daripada penerima bantuan itu, Khairil Bariah Razali, 45, berkata kedatangan Rosmah sedikit sebanyak membuktikan sikap prihatin beliau terhadap rakyat yang ditimpa kesusahan.

"Dalam banyak-banyak kawasan yang ditimpa banjir di negeri ini, beliau dengan rela hati datang dari jauh ke Kampung Pelong untuk bersama-sama melihat sendiri keadaan rakyat yang ditimpa banjir.

"Saya rasa terharu dengan sikap rendah hati yang ditonjolkan beliau dan berharap isteri pemimpin-pemimpin yang lain dapat mencontohi sikap beliau ini," katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu warga emas, Harun Said, 80, berkata beliau tidak sangka dapat bertemu kembali dengan isteri perdana menteri hari ini selepas kali terakhir bertemu di Pekan, Pahang, 30 tahun dahulu.

"Pok rasa hari ini sangat istimewa di samping dapat bantuan sumbangan Bakti, Pok dapat jumpa semula Datin Seri (Rosmah).

"Sumbangan yang diberikan amat bermakna buat kami," katanya.

[Bernama]

Sementara itu, di lokasi berlainan, Rosmah hadir pada sesi Bertanya Khabar Mangsa Banjir di Tumpat, Kelantan. 

Menurut pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor, jelas terpancar rasa syukur orang ramai ekoran kesudian isteri perdana menteri itu 'turun padang'. 

"Walaupun keadaan begitu sesak dengan hujan lebat Datin Seri Rosmah tetap komited mahu bersama rakyat dan penyokongnya. Tetap mesra walaupun dikerumuni oleh orang ramai dalam sesi Bertanya Khabar Mangsa Banjir di Masjid Simpangan, Tumpat, Kelantan.

"Kegembiraan jelas terpancar di wajah ribuan rakyat yang hadir menyatakan syukur kerana kesudian Datin Seri menjejakkan kaki ke situ demi keprihatinan beliau terhadap rakyat," tulis Rizal dalam Facebooknya yang turut meletakkan beberapa keping gambar Rosmah bersalaman dengan orang ramai. 

Lihat Komen
ADS