Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ada sikap tertentu parti pembangkang lain PAS tak gemar'

PAS belum bersedia untuk mengadakan kerjasama politik kerana terdapat sikap tertentu dalam parti pembangkang lain yang tidak digemarinya, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Perundingan dari segi kerjasama, penyelarasan kempen supaya tak bertembung, itu boleh dibuat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Himpunan Muslimat Muda di Shah Alam hari ini.

Kerjasama bersifat untuk politik masih terlalu jauh dengan sikap-sikap sedemikian rupa pada mereka, kata Hadi, dalam keadaan DAP yang didakwanya bersikap cauvinis dan Parti Amanah Negara (AMANAH) pula didakwanya lebih oportunis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita mengenai perkembangan rundingan PAS bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mengulas lanjut mengenai kesediaan PAS membuat rundingan dengan parti pembangkang lain, Abdul Hadi berkata parti Islam itu bersedia berbincang tentang penyelarasan agar tidak bertembung pada pilihan raya akan datang.

Katanya, PAS terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana NGO mahupun parti politik untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang kecuali dengan AMANAH.

Ini kerana, menurut Abdul Hadi, perbincangan tidak perlu dilakukan bersama kerana anggota AMANAH yang sebelum ini anggota PAS meninggalkan parti Islam itu.

"Perundingan (kita terbuka) sepanjang masa. PAS boleh buat (rundingan) termasuk sesiapa sahaja, termasuk NGO.

"Kita parti terbuka, matang, sejahtera. Apapun, keputusan akan berbalik pada pimpinan kita.

"(Kecuali) PAN (AMANAH) dulu meninggalkan kita, jadi tak perlu la kita (berunding)," katanya.

Selain itu, ditanya sama ada wujud kemungkinan PAS untuk bekerjasama dengan DAP dan AMANAH pada pilihan raya umum ke-14, Abdul Hadi berkata, partinya mempunyai pendirian yang berbeza dengan dua parti berkenaan.

Katanya, konsep yang dibawa partinya ialah kepimpinan Islam dan bukan hanya memberi tumpuan untuk mengubah kerajaan.

"Kita ada pendirian sendiri. Konsep kita adalah kepimpinan Islam. Kepimpinan yang bersih dan berwibawa iaitu kepimpinan Islam.

"Mereka (AMANAH dan DAP) lebih tumpu nak ubah kerajaan sahaja. Kita bukan nak ubah, kita mahu ubah dan mesti kepimpinan yang betul yang berteras Islam dan ini perbezaan mereka dan kita," katanya.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, DAP dan PKR 'berkubur' ekoran tindakan PAS memutuskan hubungan dengan DAP pada muktamar tahunannya pada Jun 2015.

Malah, selepas muktamar itu juga, beberapa anggotanya yang kecewa dengan PAS meninggalkan parti berkenaan dan menubuhkan AMANAH.

Ekoran itu, pakatan baru yang diberi nama Pakatan Harapan dibentuk tanpa PAS bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Malah, Harapan bersama BERSATU juga secara rasmi telah membentuk pakatan pilihan raya bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.

Bagaimanapun, PAS ketika ini hanya menubuhkan blok pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) bagi menghadapi pilihan raya.

Lihat Komen
ADS