Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata beliau akan meneruskan dasar yang diperkenalkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Sarawak.

"Sistem pendidikan kita masih terbuka. Kita di Sarawak, bahasa Inggeris kita masih bagus. Sebab itulah Allahyarham Tok Nan (Adenan) menyebut bahawa selain bahasa Malaysia, bahasa rasmi di Sarawak adalah Inggeris.

"Sebagai ketua menteri yang baru, saya juga akan meneruskan dasar itu, iaitu bahasa Inggeris akan menjadi bahasa rasmi kedua di Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis Save SMK St Teresa's Nite di Kuching malam tadi.

Turut hadir, isteri beliau Datin Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Teresa Mary John dan Pengerusi Lembaga Pengurusan St Teresa Wong Mee King.

SMK St Teresa mengadakan majlis makan malam amal itu untuk mengutip derma bagi pembinaan dewan sekolah berkenaan yang musnah dalam kebakaran pada Oktober lepas.

Mengambil contoh bahasa Inggeris sebagai bahasa sejagat, Abang Johari berkata bahasa Inggeris digunakan dengan meluas dalam persidangan antarabangsa.

"Apabila kita menghadiri persidangan di luar negara, bahasa Inggeris akan digunakan, ia merupakan bahasa sejagat. Jika anda tidak tahu bertutur atau memahami bahasa Inggeris, anda akan berasa terasing dalam persidangan berkenaan," katanya.

Dalam ucapannya itu, Abang Johari turut mengumumkan sumbangan tambahan RM500,000 daripada kerajaan negeri dan RM50,000 daripada Sabati (Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri) yang dipengerusikan isteri beliau.

Sebagai rekod, kerajaan Sarawak memberi bantuan RM1 juta kepada SMK St Teresa dengan cek diserahkan Adenan kepada wakil sekolah itu pada November lepas.

Allahyarham Adenan, Ketua Menteri Sarawak kelima, meninggal dunia pada 11 Jan lalu berikutan komplikasi jantung dan Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu pada 13 Jan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS