Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri, Annuar bercanggah isu pengiktirafan UEC di UniKL
Diterbitkan:  Jan 22, 2017 8:47 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak berhasrat untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi kemasukan ke universiti itu setakat ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jawapan tersebut sekali gus bercanggah dengan kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa bahawa UniKL mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti itu.

Ismail berkata, sijil itu tidak selaras dengan falsafah pendidikan
negara yang memerlukan kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Biarpun Kementerian Pengajian Tinggi telah memberikan kebenaran IPTS mengambil pelajar berdasarkan sijil UEC pada 2004, tetapi itu bukan bermakna kita (MARA) mesti ikut, kita ada pilihan yang mana sehingga kini tidak akan membuka pengambilan pelajar berdasarkan sijil tersebut," kata Ismail dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Jalinan Rakyat (JR) Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bera hari ini.

Semalam, Annuar menyatakan UniKL mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan untuk belajar di universiti itu.

Annuar berkata walaupun di bawah kendalian MARA, UniKL adalah institusi pengajian tinggi swasta yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerima permohonan pemegang sijil tersebut.

"Ramai yang terlepas pandang dan menyangka UniKL sebuah univesiti awam kerana ia di bawah Mara tetapi sebenarnya ia IPTS. Saya sudah periksa polisi UniKL dan sememangnya kita dibenarkan mengambil lulusan UEC dan pensijilan antarabangsa lain seperti O-Level," katanya selepas melawat Pusat Pembelajaran Permai di Ampang.

Mengulas lanjut, Ismail berkata walaupun UniKL sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) namun ia milik penuh MARA yang sehingga kini masih mematuhi falsafah pendidikan negara.

Ismail bagaimanapun berkata pelajar bukan Bumiputera dan dari negara luar boleh memohon masuk ke UniKL berdasarkan kelayakan sijil yang diiktiraf kerajaan bagi syarat kemasukan ke IPTA seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk peringkat diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi ijazah atau setaraf dengannya seperti A Level.

"UniKL sebuah IPTS yang ditubuh pada tahun 2002 dan dimiliki sepenuhnya oleh MARA... tawar program yang mendapat pengiktirafan daripada badan-badan akreditasi dan profesional.

"Syarat kemasukan tertakluk oleh keperluan badan-badan tersebut dan sijil UEC tidak menjadi sebahagian syarat kemasukan ke UniKL," kata Ismail.

Sijil UEC merupakan peperiksaan yang dikendalikan badan persendirian
menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Lihat Komen
ADS