Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Orang ramai yang ingin mengunjungi Kota Pekalongan di Jawa Tengah dinasihati supaya mengambil langkah waspada terhadap penyakit untut atau kaki gajah yang kini menjadi wabak di daerah itu.

Media-media tempatan memetik Ketua Bidang Pencegahan Penyakit dan Kesihatan Kawasan Jabatan Kesihatan Kota Pekalongan Tuti Widayanti sebagai berkata setakat ini sebanyak 409 warga kota itu disahkan menderita penyakit berkenaan.

Katanya penyakit itu yang juga disebut sebagai filariasis telah menjadi wabak di 12 perkampungan di daerah kota itu.

Jabatan berkenaan mengesahkan daripada 409 pesakit, 37 kes di tahap kronik sehingga seluruh tubuh pesakit membengkak.

Kota Pekalongan terletak 380 kilometer dari timur Jakarta dan ia dikenali sebagai Kota Batik kerana batik Pekalongan memiliki corak istimewa dan khas serta diiktiraf oleh UNESCO sebagai Bandar Batik Dunia pada Disember 2014.

Tuti berkata masyarakat di sekitar daerah berkenaan digesa supaya sentiasa berwaspada dengan jangkitan penyakit itu dan mendapatkan rawatan awal jika mengesyaki diri mereka dijangkiti.

Katanya masalah yang dihadapi oleh jabatannya adalah kebanyakan pesakit tidak mahu mendapatkan rawatan awal dan beranggapan kononnya ubat penyakit itu mempunyai kesan sampingan yang serius.

Beliau berkata hasil kajian mendapati lebih 60 peratus daripada pesakit pula enggan mengambil ubat makan walaupun telah disahkan mengalami penyakit untut.

"Tahap kesedaran untuk mengambil ubat makan adalah rendah dan kami menilai masyarakat masih takut dengan kesan sampingan ubat padahal yang sebenarnya tidak ada kesan sampingan," katanya.

Tuti berkata, sebagai usaha mencegah jangkitan penyakit itu, kerajaan tempatan daerah akan melancarkan kempen kesedaran mencegah untut dengan memberi ubat pencegahan kepada orang ramai tidak lama lagi.

Penyakit untut berpunca daripada jangkitan sejenis parasit dikenali sebagai Filariasis menerusi gigitan nyamuk jenis mansonia dan pesakit akan menderita dengan kaki menjadi besar secara luar biasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS