Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: Mangsa berkurang di Kelantan, Terengganu
Diterbitkan:  Jan 23, 2017 1:12 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

RANGKUMAN Jumlah mangsa banjir berkurangan di Kelantan dan Terengganu tetapi meningkat di Sabah.

Di Kelantan jumlah mangsa berkurangan kepada 8,392 orang setakat 8 pagi ini berbanding 10,402 orang 9 malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir, sebanyak 49 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir daripada lima jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai.

Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun kepada 9.97 meter berbanding 10.05m pada pukul 8 malam tadi, yang melepasi paras bahaya iaitu 9.00m.

Di Terengganu, hari keempat banjir menunjukkan pemulihan positif dengan penurunan jumlah mangsa kepada 904 orang setakat 8 pagi ini berbanding 1,155 orang malam tadi.

Menurut Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 23 pusat pemindahan masih beroperasi dan menempatkan 247 keluarga di lima daerah.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan hanya sebatang sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai.

Di Sabah pula, jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Sabah meningkat kepada 634 orang pagi ini berbanding 616 orang malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata sebanyak 45 orang dari Paitan dalam daerah Beluran ditempatkan di Dewan Kampung Binsulung pagi ini, meningkat daripada 39 orang semalam.

Di Miri, Dewan Suarah Marudi yang menjadi pusat pemindahan banjir bagi daerah ini dibuka semula pada pukul 10.54 malam tadi.

Sektretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mejar Ismail Mahedin berkata seramai 11 mangsa dari enam keluarga dari Rumah Panjang Lansam, Sungai Dabai daerah Marudi ditempatkan di situ berikutan paras air naik malam semalam.

Bagi Bintulu, beliau berkata paras Sungai Kemena telah melepasi paras bahaya 9.00 meter dengan bacaan terkini ialah 10.90 meter.

Lihat Komen
ADS