Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar Umno belajar daripada kejayaan Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri India Narendra Modi mengundang rasa kecewa pemimpin pembangkang.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, mendakwa kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat hanya akan merelakan kemenangan pilihan raya melalui cara yang tidak wajar.

"Saya rasa agak mengecewakan jika mana-mana pemimpin di Malaysia ini boleh merelakan penipuan semata-mata untuk menang dalam pilihan raya," kata Nurul Izzah kepada pemberita selepas membuat lawatan mangsa buli di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid semalam dilapor sebagai berkata, Umno perlu belajar daripada kejayaan Trump dan Modi dalam mempengaruhi persepsi umum melalui media sosial.

Berucap di hadapan kira-kira 2,000 anggota wanita Umno di PWTC, naib presiden Umno itu berkata, kedua-dua tokoh terbabit pada awalnya tidak popular tetapi akhirnya berjaya membawa parti mereka memenangi pilihan raya.

"Ini hakikat - walaupun berat - kita harap apa kita buat ini belajar daripada pengalaman yang dulunya tak digemari tapi kini jadi pemimpin utama," kata Ahmad Zahid dalam ucapannya ketika melancarkan skuad penerangan dan media Wanita Umno.

Menyamakan Parti Bharatiya Janata (BJP) diketuai Modi yang menentang Parti Kongres Kebangsaan India dengan Umno, Ahmad Zahid berkata mereka berjaya membentuk kerajaan di India kerana strategi komunikasi yang berkesan di media sosial.

Dr M berhak buat kenyataan

Beliau berkata penguasaan ke atas saluran media "bukan konvensional" juga membawa kemenangan Trump ketika menentang Hillary Clinton.

Katanya, persepsi umum terhadap Trump adalah dia akan kalah dalam pilihan raya, dibenci umat Islam dan rakyat AS bukan berkulit putih.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid berkata anggota Umno harus mempunyai acuan mereka sendiri untuk menentang serangan terhadap Umno, bukan hanya mencontohi kejayaan Modi atau Trump.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai itu menasihati Ahmad Zahid agar menjadi pemimpin yang berpegang kepada amanah dan tidak memenangi hati rakyat "melalui penipuan".

"Jadi, saya nasihatkanlah Datuk Seri Zahid kita sebagai pemimpin pegang amanah, tak perlulah kita mengguna pakai penipuan untuk memenangi hati rakyat," tegas Izzah.

Sementara itu, mengulas langkah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu telah menamatkan tempoh perbincangnya dengan PAS untuk mengadakan kerjasama dalam gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN), Izzah berkata menjadia hak pemimpin veteran terbabit untuk mengeluarkan kenyataan.

"Saya tak perlu komen. Apa yang penting adalah tumpuan kepada satu lawan satu dan saya fikir sebagai mantan perdana menteri beliau boleh keluarkan kenyataan sendiri," kata Izzah ringkas.

Lihat Komen
ADS