Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lokasi seorang wanita berusia 29 tahun yang dijumpai dalam keadaan dirantai di hadapan Kompleks 3K di Serdang Raya semalam diminta melaporkan kepada polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata pihaknya masih mengesan wanita yang telah diambil seorang lelaki selepas diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat Serdang di tempat kejadian pada kira-kira pukul 9 pagi.

"Dia telah dibawa lelaki itu yang mengaku abang kepadanya dan membawa wanita itu pulang namun sehingga kini tiada laporan polis diterima malah lokasi mereka tidak dapat dikesan," katanya ketika ditemui pemberita pada Op Selamat ke-10 di di Serdang hari ini.

Megat Mohamad Aminuddin berkata pemeriksaan polis di alamat rumah wanita itu di kawasan berhampiran mendapati rumah itu tidak berpenghuni dan telah lama ditinggalkan.

Katanya polis masih menyiasat motif wanita itu dirantai dan mencari individu yang merantainya.

Semalam, seorang wanita berusia 29 tahun yang dijumpai dalam keadaan dirantai dari bahagian leher sehingga badannya diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serdang.

Terdahulu, Megat Mohamad Aminuddin melancarkan Op Selamat sempena Tahun Baru Cina ke-10 di Plaza Tol Seri Kembangan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) di Serdang.

Katanya operasi dari 21 Jan hingga 5 Feb itu menumpukan dua kawasan panas iaitu Jalan Serdang Jaya dan Putra Permai.

"Kami akan menempatkan anggota di dua kawasan ini sebagai langkah mencegah jenayah dan meningkatkan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan pada musim perayaan," katanya.

Beliau berkata penduduk perlu menghantarkan borang kepada polis sekiranya pulang ke kampung sempena Tahun Baru Cina bagi memaklumkan kepada polis untuk pemantauan ketika rondaan cegah jenayah dilakukan di kawasan perumahan.

Setakat ini polis tidak menerima laporan berhubung kes pecah rumah daripada mereka yang menghantar borang kepada polis sebelum pulang ke kampung pada musim perayaan.

Bagaimanapun, terdapat tiga kematian akibat kemalangan dilaporkan pada Op Selamat sempena Tahun Baru Cina pada tahun lepas berbanding hanya satu kes pada 2015, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS