Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Permohonan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo dan isterinya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelucutan hak ke atas dua lot tanah dan sebuah banglo mereka di Shah Alam telah ditangguhkan.

Mahkamah menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan, berikutan permohonan penangguhan daripada peguam Dr Mohamad Khir manakala timbalan pendakwa raya tidak membantahnya.

Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan penangguhan itu berikutan permohonan peguam pasangan berkenaan, M Athimulan yang memerlukan masa bagi memberi maklum balas kepada afidavit pendakwaan.

Dr Mohamad Khir dan Zahrah Kechik memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan penjelasan berhubung perintah Mahkamah Tinggi melucutkan hak ke atas hartanah itu.

Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung perintah melucutkan hak ke atas hartanah di mana Dr Mohamad Khir dan isterinya adalah pemilik berdaftar.

Athimulan memohon penangguhan itu dengan menyatakan bahawa beliau menerima afidavit pendakwaan itu minggu lepas. Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah permohonan penangguhan itu.

Dr Mohamad Khir, 51, diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan selepas gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan pada 29 Sept, 2015 untuk mengetepikan sabitannya kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan unit banglo di Shah Alam.

Bekas anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang itu dibebaskan dari penjara pada 29 Mac tahun lepas apabila diberikan parol selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Dr Mohamad Khir didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni yang diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Dr Mohamad Khir, yang menjadi menteri besar mulai Ogos 2000 hingga Februari 2008, disabitkan melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei, 2007.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan dua lot tanah dan banglo itu dilucutkan hak.

Dr Mohamad Khir dan Zahrah, 51, hadir di mahkamah hari ini.

Selepas prosiding mahkamah, Awang Armadajaya memberitahu pemberita permohonan itu adalah bagi memperincikan perintah pelucuthakan itu dan meletakkannya dalam perspektif yang betul.

"Rabu minggu lalu, mereka menerima afidavit itu (dari kami).

"Selepas melihat afidavit balas, terdapat perkara tertentu yang mereka mahu selesaikan. Mereka perlukan lebih masa untuk menjawab afidavit itu," kata  Awang Armadajaya, ketika ditemui pemberita di Mahkamah Persekutuan hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS