Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: Selangor, Perak terjejas, Terengganu pulih
Diterbitkan:  Jan 24, 2017 12:09 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

Hujan lebat yang berlarutan sejak petang semalam menyebabkan dua lagi negeri iaitu Selangor dan Perak dinaiki air dan menjejaskan penduduk di beberapa daerah.

Dengan pertambahan dua negeri tersebut, jumlah negeri yang terjejas banjir setakat pagi ini meningkat kepada enam negeri termasuk Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak, sementara Terengganu pulih sepenuhnya pagi ini.

Di Selangor Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Daerah Sabak Bernam memaklumkan seramai 152 mangsa banjir dari Pekan Sungai Besar dan Pekan Parit Baru terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan iaitu di Dewan Sri Bernam dan pusat pemindahan Dewan Parit Baru.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata seramai 334 orang mangsa banjir ditempatkan di tujuh pusat pemindahan banjir di tiga daerah negeri itu iaitu di Manjung (197 orang), Larut (90 orang) dan Hilir Perak (27 orang).

Di Johor jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di seluruh negeri itu meningkat kepada 1,457 orang berbanding 177 orang semalam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Johor (JPBN), Datuk Ayub Rahmat berkata kesemua mangsa ditempatkan di 19 pusat pemindahan di lima daerah seluruh negeri iaitu di Kota Tinggi (838 orang), Segamat (459 orang), Johor Bahru (83 orang), Tangkak (43) dan Kluang (34 orang).

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,344 orang pagi ini berbanding 3,325 orang malam tadi dengan kesemua mangsa ditempatkan di 24 pusat pemindahan yang dibuka di Jajahan Kota Bharu (157 orang), Pasir Puteh (2,573 orang), Pasir Mas (570 orang) dan Kuala Krai (44 orang).

Di Sabah, jumlah mangsa banjir di Pitas dan Paitan juga kekal 824 orang yang kesemuanya ditempatkan di lapan pusat pemindahan di dua daerah itu iaitu di Dewan Kampung Kubambangan (30 orang) dan Dewan Kampung Binsulung (45 orang).

Sementara itu Dewan Kampung Kusilad (128 orang), Dewan Kampung Sinukab (76 orang), Dewan Komuniti Kampung Indah (137 orang), Dewan SK Salimpodon (35 orang), Dewan SK Rukom (59 orang) dan Dewan SK Pekan Pitas 2 (314 orang).

Di Sarawak, Sektretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mejar Ismail Mahedin berkata seramai 460 murid daripada lapan buah sekolah rendah di negeri itu tidak dapat meneruskan sesi persekolahan hari ini kerana banjir sejak semalam.

Lapan buah sekolah tersebut ialah empat di Bintulu iaitu SK Kuala Sigu, SK Genaan, SK Bukit Mawang dan SK Kuala Binyo dan empat sekolah di Miri iaitu SK Rumah Ranggong, SK Long Sobeng, SK Kuala Bok dan SK Long Loyang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS