Paling Popular
Terkini
story images
story images

Semalam PAS mencadangkan Parti Amanah Negara (AMANAH) dibubar dan pemimpin serta ahlinya bergabung dengan DAP.

Hari ini Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof mengingatkan bekas rakan separtinya, Iskandar Abdul Samad, bahawa sekarang bukanlah masa untuk seseorang melepaskan dendam sesama pembangkang.

Sebaliknya, kata anggota parlimen Parit Buntar itu, Iskandar sepatutnya menunjukkan beliau memiliki jiwa yang besar untuk mengenal pasti siapakah sebenarnya musuh mereka dan seterusnya menyelamatkan Malaysia.

"Malang untuk kita melihat kenyataan sebegitu muncul ketika rakyat mahu melihat pembangkang bersatu," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Iskandar berpendapat AMANAH wajar dibubarkan dan anggotanya menyertai DAP.

“Oleh itu, memang tepat saranan agar AMANAH bergabung dengan parti lain, tetapi bukan dengan PKR seperti yang disarankan.

“Saya mencadangkan agar AMANAH bergabung dengan DAP kerana mereka kelihatan lebih rapat dengan DAP.

“Jika ini berlaku maka pemimpin-pemimpin AMANAH boleh diperuntukkan kerusi-kerusi selamat DAP dan ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah,” kata Iskandar yang juga naib presiden PAS.

Mujahid berkata kenyataan Iskandar jelas menunjukkan PAS tida mahu sebarang hubungan dengan AMANAH dan DAP, tetapi bersedia bekerjasama dengan PKR serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya jika PAS benar-benar serius mahu melawan Umno, parti itu perlu bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Isu teknikal bagaimana langkah itu boleh berjaya, kata Mujahid, boleh diikhtiarkan.

"PAS mesti bersedia menerima pembangkang dan bergandingan dengan kami melawan Umno. Atau adakah ia mahu menjadi kingmaker (parti penentu) selepas pilihan raya?" katanya.

Mujahid juga berkata, beliau lebih bimbang terhadap kemampuan parti pembangkang - termasuk PAS - menunjukkan contoh kepada pengundi bahawa mereka boleh bersatu dan memenangi pilihan raya.

"Jelas kenyataan Iskandar tidak membantu sama sekali, tetapi pada saya, pintu rundingan sentiasa trbuka dan marilah berunding untuk membentuk pakatan pembangkang yang kuat melawan BN," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS