Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
China dijemput sertai TPP selepas AS tarik diri
Diterbitkan:  Jan 24, 2017 12:42 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

GLOBAL l Australia dan New Zealand berharap dapat menyelamatkan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang terkubur selepas Presiden Donald Trump mengotakan janjinya untuk keluar daripada perjanjian itu.

Kedua-dua negara itu berharap China dan negara Asia lain menyertai pakatan perdagangan itu.

TPP yang dimeterai Amerika Syarikat (AS) tetapi tidak diratifikasikan, adalah usaha bekas Presiden Barack Obama.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, sebelum ini menyifatkannya sebagai enjin pembaharuan ekonomi, selain sebagai pengimbang kepada kebangkitan China yang bukan ahli TPP.

Trump sebelum ini menandatangani perintah eksekutif menarik keluar AS daripada TPP dan menjauhkan diri daripada sekutunya di Asia.

Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, berkata beliau mengadakan perbincangan dengan Abe, Perdana Menteri New Zealand, Bill English, dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berhubung kemungkinan meneruskan TPP tanpa AS.

"Kehilangan AS daripada TPP adalah satu kehilangan yang besar," kata Turnbull kepada pemberita di Canberra hari ini.

"Tetapi kita tidak akan membiarkannya begitu saja... pastinya terdapat potensi China menyertai TPP,” katanya.

Obama merangka TPP tanpa China dalam usaha mendahului menulis peraturan perdagangan di Asia sebelum Beijing dapat berbuat demikian, mewujudkan penerajuan ekonomi AS di rantau itu sebagai sebahagian daripada kecenderungannya ke arah Asia.

China mencadangkan satu pakatan baharu sebagai tindak balas, iaitu Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) dan memperjuangkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang disokong Asia Tenggara.

TTP yang mengambil masa lima tahun untuk dirundingkan, memerlukan ratifikasi sekurang-kurangnya enam negara mewakili 85 peratus gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ahli.

Australia akan membantu bagi memungkinkan China, pengeksport utama dunia, menyertai TPP.

- Reuters

Lihat Komen
ADS