Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jika nak ikut rentak sendiri saja, itu kuku besi'

Kerjasama politik yang cuba diusahakan antara Pakatan Harapan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS setakat ini masih belum jelas titik temunya.

Mengulas gesaan PAS untuk mengikut rentak mereka jika ingin bekerjasama, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata gesaan tidak demokratik, tetapi “kuku besi”.

"(Bekas presiden Amerika Syarikat Barack) Obama pun pernah katakan proses demokrasi adalah satu proses yang riuh. Ada yang setuju ada yang tak setuju. Tapi itu demokrasi.

"Tetapi kalau paksa kamu kena ikut cara aku, rentak aku itu bukan demokrasi, tetapi itu kuku besi," tegas Azmin.

Azmin berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Skim Peduli Sihat di Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, Gombak hari ini.

Beliau ditanya sama ada ada PKR masih mahu bekerjasama selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang 'menasihatkan' mana-mana pihak yang berhasrat untuk itu perlu rentak mereka.

Ini kerana, hujah Hadi, PAS sudah bertapak lama dalam arena politik negara dan melalui pelbagai pengalaman pahit manis, sekali gus menjadikan mereka berbeza dengan parti-parti lain.

PAS setakat ini tidak menolak kerjasama dengan PKR tetapi menentang keras kerjasama dengan DAP dan serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH).

'Strategi tak boleh didedah'

Mengulas lanjut, Azmin yang juga menteri besar Selangor itu bagaimanapun berkata pembangkang mempunyai strategi yang tidak boleh dihebahkan kepada media.

“Kita tak tahu tarikh pilihan raya. Ini kan strategi. Ia tak boleh cerita dengan media," kata Azmin.

Azmin bagaimanapun berkata menegaskan pihaknya akan terus berbincang meskipun rumit.

"Dalam mana-mana proses rundingan ia merupakan satu proses yang rumit. Bukan boleh selesai dengan hanya satu pertemuan.

"Kita teruskan perbincangan malam tadi bertemu dengan Pengerusi dan Presiden BERSATU untuk lihat bagaimana boleh maju ke depan," kata anggota parlimen Gombak itu.

Azmin juga mengajak semua pihak berlapang dada.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu berkata tempoh perbincangan parti itu dengan PAS sudah berakhir.

Lihat Komen
ADS