Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanya isu kapcai, Ku Nan cakap pasal kahwin pula

Entah apa yang mendorong Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengaitkan tentang perkahwinan pula ketika ditanya mengenai isu motosikal kapcai di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya wartawan Malaysiakini mengenai isu itu, menteri wilayah persekutuan itu berkata beliau tidak menghalang motosikal berkuasa rendah masuk ke ibu kota sebaliknya mengatakan ia hanyalah satu 'kemungkinan'.

“Itu (kapcai) bukan saya nak halang, you all yang salah (tafsir).

“Saya kata berkemungkinan. You know (apa maksud) berkemungkinan?," katanya kepada wartawan Malaysiakini.

“Berkemungkinan saya akan kahwin dengan anda. Begitulah… Tapi saya dah kahwin,” katanya sambil disambut gelak ketawa semua pengamal media.

Kenyataan spontan itu turut menyebabkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Dr. Shafei Abdullah ketawa.

Sebelum ini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak bersetuju cadangan kapcai diharamkan daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Sebaliknya lori, bas dan kereta perlu dikenal pasti kerana penyumbang kepada pencemaran.

Tengku Adnan sebelum itu merasmikan sebanyak 206 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Legasi Residensi Kampong Bharu yang dibangunkan UDA Holdings Berhad.

Katanya, kediaman berharga pada RM300,000 seunit itu berkeluasan 807 kaki persegi, mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan petak letak kereta berbumbung, termasuk kemudahan lain.

Jelasnya, pembinaan projek tersebut sedang dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Kediaman tersebut ditawarkan dalam satu blok setinggi 43 tingkat bersama-sama kediaman harga bebas. Rumah mampu milik ini ditawarkan khusus kepada penduduk Kampung Baru seterusnya dibuka kepada orang ramai,” kata Adnan dalam ucapannya.

Lihat Komen
ADS