Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah: Jangan perguna agama demi habuan dunia
Diterbitkan:  Jan 27, 2017 12:43 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengingatkan umat Islam tentang golongan yang melakukan eksploitasi agama demi habuan dunia.

Menurut mimbar, mutakhir ini terdapat sebahagian ahli perniagaan yang memperalatkan agama untuk cepat kaya dengan jalan mudah atas nama agama serta menipu dalam jualan langsung, seperti skim cepat kaya kononnya berteraskan Islam.

"Lebih memburukkan keadaan, pihak tidak bertanggungjawab ini juga mengeksploitasi nama agama sebagai umpan dengan meyakinkan orang ramai bahawa pelaburan tersebut bersifat patuh syariah walhal ia sebenarnya tidak wujud," kata teks khutbah itu yang dipetik sebagai berkata.

Mimbar juga memberikan contoh lain pihak yang mengeksploitasi agama ialah dengan menawarkan pakej menguruskan haji dan umrah dengan tawaran menarik, menggunakan istilah wakaf seperti wakaf al-Quran, tanah bangunan masjid dan pusat tahfiz.

"Terdapat juga mereka yang mempergunakan istilah wakaf seperti wakaf Quran, wakaf tanah, bangunan masjid, pusat tahfiz dan lain-lain untuk tujuan ibadah dan kebajikan tetapi sebaliknya bertujuan untuk kepentingan peribadi.

"Begitu juga segala kutipan derma dan sumbangan yang mempergunakan nama agama untuk kegunaan peribadi. Hakikatnya mereka telah membunuh kepercayaan orang ramai terhadap Islam," kata mimbar lagi.

Sehubungan itu, mimbar mengingatkan bahawa Islam melarang tegas sebarang bentuk aktiviti manipulasi dalam perniagaan yang turut menggunakan pelabelan produk dengan menggunakan potongan hadis sebagai dalil untuk menyokong produk yang dijual.

"Pada hari ini, terdapat pelbagai produk dijual dengan menggunakan 'unsur' agama sebagai nilai komersial dalam melariskan perniagaan.

“Sebahagian dakwaan itu bersandarkan kepada hadis palsu dan perkara yang tidak benar sama sekali," kata teks itu lagi.

Justeru, mimbar berkata, Islam tidak melarang umatnya mencari nikmat dunia tetapi bukan melalui jalan yang salah, menyeleweng dan memperalatkan agama.

"Islam mahukan kita sentiasa berhati-hati dalam urusan dunia agar tidak menyimpang dari landasan yang telah ditetapkan oleh Allah.

"Kita perlu menyedari bahawa kehidupan di akhirat adalah kehidupan sebenar dan kekal abadi yang perlu diberi keutamaan," kata mimbar.

Lihat Komen
ADS