Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU14: PAS mungkin tumbang di Kelantan jika...
Diterbitkan:  Feb 1, 2017 11:59 AM
Dikemaskini: 4:41 AM

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, kajian pihaknya mendapati PAS kemungkinan tidak dapat mempertahankan Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Kata beliau yang juga pengarah pendidikan politik DAP, kemungkinan tersebut boleh berlaku jika Parti Amanah Negara (AMANAH) mampu memberikan cabaran serius kepada PAS di 10 daripada 33 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang disandangnya.

"Jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula mampu memberi saingan di 5 daripada 12 kerusi DUN yang kini disandang oleh Umno, PAS dan Umno mungkin tidak lagi boleh bersenang-lenang dalam bertanding antara satu sama lain di Kelantan.

"Hakikatnya PAS mungkin terpaksa membentuk pakatan pilihan raya bersama Umno di Kelantan, sama ada melalui pilihan atau kesesuaian," kata Liew dalam blognya.

Pada masa ini, PAS menguasai 31 kerusi DUN di Kelantan setelah Datuk Husam Musa keluar menyertai AMANAH, PKR pula memegang 1 kerusi DUN manakala Umno dengan kawalan dalam 12 kerusi DUN.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, partinya menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Pada masa yang sama, kata Abdul Hadi, parti itu perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan dan Selangor selain memerintah semula Terengganu dan Kedah.

Mengulas lanjut, Liew berkata, juga dengan mengandaikan AMANAH, BERSATU dan PKR tidak bertanding menentang satu sama lain tetapi membentuk gabungan melawan PAS atau Umno atau kedua-duanya dalam pertandingan tiga atau empat penjuru, Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BERSATU bukan di pihak yang kalah.

"Jika PAS dan Umno tidak dapat mencari titik perjanjian untuk membentuk pakatan pilihan raya dan berlawan sesama sendiri tetapi HARAPAN dan BERSATU membentuk kerjasama dengan meletakkan calon tunggal di setiap kerusi maka tidak ada keputusan yang pasti terutama kerusi-kerusi marginal.

"Jika PAS dan Umno mengalami penurunan 10 peratus dalam undi mereka ekoran keterlibatan dengan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak), mereka masih bertempur dalam pertandingan tiga penjuru, PAS mungkin kehilangan Kelantan manakala Umno boleh ucapkan selamat tinggal kepada impiannya untuk menawan semula negeri itu," jelasnya lagi.

Tambah Liew, pada pilihan raya umum 2013, PAS dan PKR kedua-dua mendapat 425,291 undi (55,26 peratus) manakala Barisan Nasional pula menerima 343,416 undi atau 44.62 peratus.

"Daripada 32 kerusi PAS, 13 daripadanya dimenangi dengan kurang daripada 55 peratus undi. Daripada 12 kerusi DUN Umno pula, 9 daripadanya dimenangi dengan kurang daripada 55 peratus undi.

"Dalam erti kata lain, 23 daripada 45 kerusi DUN Kelantan iaitu lebih sedikit daripada separuh adalah kerusi marginal yang rapuh kepada PAS jika HARAPAN dan BERSATU membuat gabungan yang mantap manakala Umno dan PAS berlawan antara satu sama lain.

Justeru, tambah Liew, jangan sekali-kali memandang rendah kebijaksanaan politik pengundi Kelantan.

"Saya telah bertemu dengan ramai rakyat Kelantan selama ini dan saya amat menghormati tinggi untuk mereka. Jika berlaku perubahan mood di Kelantan, PAS dan Umno akan dipaksa untuk membentuk pakatan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS