Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fahamilah Felda dan FGV berbeza, kata Shahrir
Diterbitkan:  Feb 1, 2017 12:48 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Pengerusi baru Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, masalah agensi tersebut adalah lebih kepada persepsi dan salah faham.

"Ramai orang tidak boleh membezakan antara Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham, dan Felda sebagai sebuah badan pihak berkuasa iaitu lembaga yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen.

"Jadi ada salah faham dan kekeliruan, bukan sahaja di peringkat peneroka tetapi juga pemimpin dunia perniagaan.

"Contohnya, saya berjumpa dengan kenalan seorang ahli perniagaan yang berpengetahuan tinggi (dalam dunia perniagaan). Dia marah pada FGV, katanya 'Apa pasal FGV beli hotel di London?' Saya jawab "sebenarnya bukan FGV yang beli (sebaliknya) yang beli hotel di London itu adalah Felda melalui anak syarikatnya"," jelas Shahrir, memetik laporan Bernama.

Sebelum ini, dalam satu lagi wawancara berlainan, Shahrir dilaporkan sebagai berkata, beliau mendapat gambaran bahawa Felda dalam bahaya dan menerima pandangan itu yang menjadi antara penyebab menerima untuk dilantik sebagai pengerusi baharu agensi itu.

Selain itu, Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bahru berkata, beliau juga bersetuju dilantik ke jawatan berkenaan asalkan Felda dipisahkan dengan Felda Global Ventures (FGV).

"Sebenarnya saya tidak berminat untuk apa-apa jawatan, tetapi bila ditanya berkaitan Felda, saya cepat mengatakan 'yes', saya boleh terima.

"Saya terima asalkan ia dipisahkan dengan Felda Global Ventures (FGV) kerana dikhuatiri jika menerajui kedua-duanya, ia tidak menjadi. Ini penting bagi memudahkan mereka yang tidak faham peranan Felda dan fungsi FGV," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, ini beerti orang yang sepatutnya mempunyai kefahaman dari segi dunia perniagaan, kedudukan yang agak kukuh dan tinggi dalam masyarakat perniagaan Malaysia pun boleh keliru dan tidak faham dan tak boleh membezakan di antara Felda dan FGV.

"Tanggungjawab kita adalah menjelaskan sebelah mana FGV, dan sebelah mana Felda. Saya menjadi Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjadi Pengerusi FGV.

"FGV merupakan syarikat awam tersenarai di Bursa Saham, jadi kenalah mematuhi segala keperluan urus tadbir Bursa Saham sebagai sebuah syarikat awam.

"Di peringkat Felda pula kita mesti mengikut akta dan bergerak mengikut kehendak Akta Felda itu sendiri. Sambil itu, Felda mempunyai anak-anak syarikat kerana Felda mempunyai kuasa untuk menubuhkan anak-anak syarikat. Jadi anak-anak syarikat itu harus dikawal, diuruskan oleh Lembaga Felda ataupun oleh pihak Felda," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS