Umno Bandar Tun Razak beri petrol percuma

   

Umno Bandar Tun Razak hari ini memberikan petrol percuma kepada penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di kawasan parlimen itu.

Ia dibuat selepas kerajaan menaikkan harga minyak petrol 20sen seliter untuk RON95 dan RON97 dan 10sen untuk diesel tengah malam tadi.

Bagaimanapun hanya penunggang motosikal berkuasa 150cc sahaja layak menerimanya.

Beberapa petugas yang memakai baju BN dilihat membantu kelancaran acara itu, di samping mengedarkan pelekat bertulis “BTR di hatiku” dan “#BetterNation”.

Program dinamakan “Jom Isi Minyak” itu bermula sejak jam 2 petang dan akan berlangsung selama dua jam.

Ramai penunggang motosikal beratur menunggu giliran untuk mendapatkan petrol percuma di stesen minyak Petronas itu.

Sementara itu, pengerusi Umno bahagian Rizalman Mokhtar juga berikrar akan memberikan petrol pada hari pertama setiap bulan, tidak kira harga minyak naik atau turun.

“Kami hanya isi penuh tangki mereka, jumlah minyak bergantung pada tangki mereka,” katanya yang menjangkakan sebanyak 150 motosikal akan mendapat faedah itu hanya dalam tempoh dua jam.

Katanya, walaupun bantuan itu kecil, ia diharapkan dapat membantu mengurangkan beban rakyat.

Program sama sebelum ini dianjurkan oleh anggota parlimen Segambut daripada DAP Lim Lip Eng, yang memberi petrol percuma kepada kira-kira 1,000 penunggang motosikal pada 10 Januari lalu.

Bagaimanapun ia bukan dianjurkan kerana kenaikan harga minyak tetapi menyindir cadangan menteri Umno untuk mengharamkan motosikal berkuasa rendah atau kapcai memasuki ibu kota.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda