Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR mahu kerajaan, DBKL penuhi 5 tuntutan warga kota
Diterbitkan:  Feb 1, 2017 10:00 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mahu kerajaan dan pihak berkuasa tempatan memenuhi lima tuntutan warga kota sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

Lima tuntutan berkenaan ialah mencorak pembangunan seimbang dan lestari, menyelia sistem trafik yang berkesan selain menambah baik sistem pengangkutan awam dan menaik taraf projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam yang kondusif.

Dua tuntutan selebihnya ialah menambah baik sistem perparitan dan kawalan banjir di Kuala Lumpur dan memelihara serta memulihara kawasan hijau di Kuala Lumpur.

"Saya menggesa agar Datuk Bandar (Kuala Lumpur) kembali menyerap semangat menjadi pelindung warga kota yang menggariskan dasar-dasar prorakyat dan bukan hanya promenteri.

"Dana yang diperuntukkan sebanyak RM2.871 bilion kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah untuk memelihara kesejahteraan 1.76 juta penduduk warga kota, bukan hanya mengeluarkan arahan untuk halwa telinga Menteri semata-mata," jelas beliau dalam kenyataan.

Nurul Izzah merupakan antara wakil rakyat pembangkang yang kerap mengutarakan pelbagai masalah warga kota yang terbelenggu dengan saban isu yang dibangkitkan antaranya deretan lubang di jalanan yang menjadi lambang pembangunan tanpa pantauan.

Dua bulan yang lalu, Nurul Izzah membidas DBKL kerana enggan bertanggungjawab terhadap insiden runtuhan jambatan di KL Eco City, sebaliknya menuding jari kepada pihak lain.

Kata beliau yang juga naib presiden dan pengarah pilihan raya PKR, DBKL sepatutnya bertanggungjawab kerana merupakan rakan usaha sama dalam projek tersebut.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, ibu negara perlu dibangunkan secara seimbang dan perlu berteraskan aspirasi warga kota yang turut dirasai oleh pelbagai latar belakang, khususnya warga kota B40.

"Amalkan urus tadbir yang baik dengan pelaksanaan tender terbuka dan telus dalam pengagihan projek. Kekalkan garis panduan kepadatan penduduk seperti yang ditetapkan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

"Pada masa yang sama, kawal selia aliran trafik ketika waktu puncak, penggunaan komposisi tar jalan yang berkualiti bagi mengurangkan kekerapan membaik pulihan jalan selain menyemak semula kontrak kutipan caj parkir di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan berserta pembatalan pengambil alihan tapak parkir yang membebankan rakyat," katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan dan DBKL perlu menyediakan kadar khas tambang pengangkutan awam mengikut latar belakang ekonomi seperti B40, pelajar dan warga emas selain mewujudkan pemisahan kuasa yang jelas bagi mengelakkan salah guna dana awam menerusi pilihan raya.

Di samping itu, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak perumahan awam mampu milik yang berkualiti di samping mempercepatkan proses permohonan rumah PPR di Kuala Lumpur kepada mereka yang berkelayakan selain memperkemas sistem pengurusan sampah, ujarnya.

"Lebih dari itu, bersihkan sistem perparitan dan saliran air dengan menubuhkan unit khas yang melibatkan pakar di samping mengemas kini status laporan peruntukan RM15 juta yang disalurkan untuk atasi banjir kilat di Kuala Lumpur.

"Pastikan juga tidak ada lagi projek mahal tanpa kesan seperti projek gergasi Taman Tugu yang dijangka menelan belanja RM650 juta kononnya berlandaskan penghijauan Kuala Lumpur," tambahnya.

Lihat Komen
ADS