Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jalan masih jauh - itu komen salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS berhubung kemungkinan parti itu bekerjasama secara rasmi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menurut Dr Mohd Zuhdi Marzuki, apa yang dicapai semasa pertemuan dua wakil PAS dan BERSATU di Kuala Lumpur semalam belum muktamad.

Katanya, semua cadangan kerjasama daripada BERSATU itu perlu terlebih dulu diteliti Jawatankuasa Pusat PAS sebelum dibawa pua ke majlis syura ulama (MSU).

"MSU adalah badan yang mempunyai kata akhir untuk membenarkan kerjasama itu atau tidak," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam PAS dan BERSATU bertemu 'secara rahsia' bagi membincangkan jalan bekerjasama menjelang pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya 2018.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing mewakili PAS dan BERSATU dalam pertemuan berkenaan.

Ekoran pertemuan itu mereka mengeluarkan kenyataan bersama mengenai pembentukan jawatankuasa teknikal untuk meneliti kesan perbincangan yang dianggap mereka sebagai positif.

Pertemuan itu akhirnya berlangsung walaupun sebelum itu beberapa pemimpin PAS - termasuk Mohd Zuhdi - mengeluarkan kenyataan menyerang Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir kemudian menjelaskan usaha rundingan BERSATU dan PAS disabotaj pihak tertentu dan bekas perdana menteri itu secara khusus memetik nama Mohd Zuhdi.

Mohd Zuhdi berkata sebelum ini MSU memutuskan tahaluf siyasi (pakatan politik) parti berkenaan dengan DAP.

Langkah berkenaan, kata pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu, boleh difahami juga sebagai "haram" berkerjasama dengan DAP.

Selain itu, katanya, PAS sudah menyatakan komitmen dengan blok Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang terbentuk antara parti itu dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Mohd Zuhdi menjelaskan, jika MSU membenarkan PAS bekerjasama berkenaan, ia bermaksud BERSATU akan menyertai GAGASAN.

"(Namun) akan ada pula proses membuat keputusan selanjutnya, iaitu mendapatkan persetujuan IKATAN untuk menerima kemasukan parti baru.

"Oleh sebab itu, resolusi semalam masih jauh untuk dimuktamadkan," katanya.

Lihat Komen
ADS