Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hisham: Dalam hal rasuah, tiada yang terkecuali
Diterbitkan:  Feb 2, 2017 8:44 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini memberi reaksi terbuka terhadap pertuduhan rasuah melibatkan bekas pegawai khasnya Zailan Jauhari.

"Dalam hal berkaitan rasuah atau salah guna kuasa, siasatan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tidak ada siapa yang terkecuali termasuk diri saya dan pegawai saya.

“Berhubung kait dengan pegawai berkenaan saya harap bahawa apa yang telah pun didakwa biar melalui proses yang sedia ada.

"Dalam kes ini, saya dilaporkan bahawa kes ini merupakan kes lama dan pegawai berkenaan telah bersama dengan saya sejak saya di Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan lagi," beliau dipetik sebagai berkata.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran dan pemeteraian Memorandum Persefahaman Program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu di Wisma Perwira ATM, di ibu negara, hari ini.

Zailan, kakitangan Hishammuddin ketika di Kementerian Pengangkutan, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima suapan RM80,000 bagi membantu dua syarikat mendapatkan tender pembersihan sekolah di Kuala Selangor.

Zailan mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM30,000. Mahkamah menetapkan 13 Februari ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kes itu disiasat dan berharap siasatan terperinci dibuat bagi membuktikan kebenaran.

"Cuma saya berharap siapa yang disiasat itu, dan siapa yang membuat siasatan jangan sampai mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS