Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA gesa dedah formula kiraan harga minyak
Diterbitkan:  Feb 3, 2017 3:27 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

MCA hari ini menggesa kerajaan mendedahkan formula pengiraan harga bahan api bagi mengelakkan pembangkang daripada mengelirukan orang ramai.

Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Lau Chin Kok berkata kerajaan perlu menangani isu kenaikan harga bahan api itu dengan cara terbuka dan telus, supaya pembangkang "tidak akan berpeluang untuk memutarbelitkan fakta".

"Selepas kenaikan harga bahan api baru-baru ini, orang ramai mula mempercayai khabar angin. Ini akhirnya akan menyebabkan keseluruhan isu berkenaan diputar-belitkan sehingga di luar kawalan.

"Ada pemimpin pembangkang yang menyamar sebagai pakar dan memberi komen yang tidak bertanggungjawab.

“Ini menyebabkan kemudaratan besar kepada kerajaan," kata Lau dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, golongan tidak bertanggungjawab itu mengambil kesempatan daripada rangkaian media sosial untuk menyebarkan berita palsu, sehingga ada yang mempercayai tanggapan bahawa kenaikan harga minyak adalah salah kerajaan.

"Pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan perlu memperkasakan unit perhubungan awam supaya mereka boleh bertindak balas secara profesional terhadap tuduhan yang dilemparkan pembangkang, dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada orang ramai."

Lau juga mahu parti pemerintah untuk tidak lagi bergantung kepada media cetak dan elektronik arus perdana untuk mengedarkan berita dan sebaliknya menggunakan media sosial sebagai "medan perang" membuat pengumuman rasmi.

Lihat Komen
ADS