Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tetapkan harga siling RON95, saran DAP
Diterbitkan:  Feb 3, 2017 4:02 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

DAP hari ini menggesa kerajaan menetapkan harga syiling minyak bagi mengimbangi mekanisme apungan terkawal yang digunakan kerajaan ketika ini untuk menentukan harga bahan api tersebut.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Young Syefura Othman berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi meringankan beban yang bakal ditanggung rakyat jika harga minyak mentah dunia berterusan meningkat pada masa akan datang.

“Malah, jika benar dikatakan pendapatan kerajaan juga akan meningkat mengikut pergerakan harga minyak dunia, saya menyeru agar lebihan pendapatan digunakan untuk membantu rakyat.

“Walaupun berdasarkan mekanisme apungan terkawal, saya mendesak kerajaan agar mewujudkan had untuk harga minyak yang perlu dibayar oleh rakyat, satu harga siling,” katanya, memetik laporan Roketkini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan dari PKR, Rafizi Ramli mahu kerajaan menetapkan harga siling RM2 seliter bagi minyak petrol gred RON95 dengan mengembalikan subsidi minyak.

Kata beliau, sebarang kenaikan harga petrol gred itu yang melepasi RM2 seliter perlulah diimbangi dengan kenaikan pendapatan luar yang diperolehi kerajaan ekoran lonjakan harga minyak mentah.

"Saya jangka harga (petrol gred) RON95 mengikut formula kerajaan akan kekal sekitar RM2.20 bagi beberapa bulan pertama 2017.

"Ia setelah mengambil kira suasana ekonomi global yang menunjukkan harga minyak mentah akan kekal melebihi paras ASD55 setong bagi beberapa bulan akan datang dan nilai ringgit yang kekal lemah," jelas Rafizi lagi.

Sementara itu, pakar ekonomi, Datuk Chua Tia Guan meramalkan harga minyak akan naik lagi di masa akan datang.

Ini kerana, jelasnya, kenaikan harga minyak mentah dan kadar pertukaran nilai mata ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Kerajaan kita telah menetapkan harga runcit minyak petrol dan diesel bergantung kepada apungan terurus melalui harga purata bulanan pasaran minyak dunia, manakala harga minyak mentah adalah dikira dengan dolar Amerika Syarikat.

"Oleh itu, saya nasihatkan pengguna agar bersiap sedia menghadapi situasi yang lebih mencabar lagi dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang," kata Tia Guan yang juga Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group kepada Sin Chew Jit Poh, memetik laporan Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut, Young Syefura yang juga Penolong Setiausaha Wanita DAP, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) harus diberikan setiap tiga bulan dengan kadarnya ditingkatkan sewajarnya selaras dengan kenaikan harga minyak.

Katanya, ia setimpal dengan dasar Umno dan BN sebelum ini yang enggan memberikan subsidi minyak atas alasan kononnya ingin membantu golongan sasaran berpendapatan rendah.

“Sekiranya kerajaan boleh naikkan harga minyak setiap bulan, saya menuntut kerajaan bukan hanya beri BR1M setiap tiga bulan, tetapi naikkan jumlah pemberian BR1M setiap tiga bulan, seadilnya!

“Jika perkara ini pun tidak terjangkau dek akal kuasawan-kuasawan di Putrajaya, maka sudah masanya Putrajaya dibersihkan dan digantikan dengan kerajaan baru,” tegasnya yang mesra dipanggil Rara.

Harga petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik sebanyak 20 sen bermula Rabu lalu, kepada RM2.30 dan RM2.60. Manakala harga minyak diesel naik sebanyak 10 sen kepada RM2.15.

Lihat Komen
ADS