Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP bimbang lebih banyak kemalangan motosikal
Diterbitkan:  Feb 4, 2017 4:42 PM
Dikemaskini: Feb 5, 2017 4:16 AM

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes-kes kemalangan motorsikal ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga petrol baru-baru ini.

Kata beliau yang juga pengarah pendidikan politik DAP, kenaikan berkenaan telah memberikan kesan ekonomi yang besar melibatkan kos sara hidup rakyat.

"Apa yang benar-benar membimbangkan saya, dengan tahap akses kemudahan pengangkutan awam yang amat terbatas di Malaysia, kita khuatir akan menyaksikan lebih banyak nahas kemalangan jalan raya melibatkan nyawa pengguna motorsikal pada hari-hari yang mendatang nanti.

"Kajian menunjukkan, nahas kemalangan jalan raya yang meragut nyawa para penunggang motorsikal telah meningkat pasca kenaikan harga petrol pada Mac 2006 dan Jun 2008 akibat kebanyakkan rakyat memilih untuk beralih daripada memandu kereta kepada menunggang motorsikal demi mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung," katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, mengikut statistik, kemalangan maut membabitkan penunggang motorsikal adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding pemandu kereta, 6 kali lebih tinggi berbanding pejalan kaki bahkan hampir 50 kali lebih tinggi pula berbanding pengguna bas.

"Pada angka yang lain, 60% kemalangan maut di jalan raya adalah melibatkan motorsikal.

"Hal ini dapat dielakkan sekiranya Malaysia memiliki sistem pengangkutan awam yang baik dan berkesan," jelas Liew lagi.

Dalam keadaan perkhidmatan LRT dan MRT dilihat sebagai sebahagian daripada prasarana pengangkutan awam yang ada di Malaysia, ia masih tidak memberikan solusi kepada rakyat, katanya.

"LRT dan MRT saya sifatkan sebagai projek mega yang memakan belanja berbilion ringgit namun bukan bermatlamatkan menaik taraf pengangkutan awam sebaliknya dicipta untuk keuntungan golongan pemaju.

"Kesannya jelas, projek mega ini tidak memberi kesan pun kepada kawasan luar bandar mahupun bandar-bandar yang bukanlah utama, tidak seperti mana Kuala Lumpur dan Lembah Klang," tambahnya.

Bahkan di Lembah Klang sekalipun, laporan menunjukkan bahawa jajaran LRT dan MRT tidak menyumbang kepada penurunan kadar kesesakan trafik, ujarnya.

"Kini masanya untuk rakyat mendesak agar perkhidmatan bas awam kita ditingkatkan.

"Sekiranya ia dibangunkan dengan baik, ia bakal menjadi pengangkutan awam paling efisyen buat rakyat dengan kos yang lebih murah," katanya lagi.

Justeru, pihaknya menggesa reformasi institusi dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mestilah diletakkan dibawah Kementerian Pengangkutan.

"Kedua, sebahagian kuasa mengurus pengangkutan awam mestilah diberikan kepada kerajaan negeri.

"Dengan ini, kerajaan negeri memiliki lebih banyak kuasa untuk merancang, mengurus dan menyediakan pengangkutan awam bagi memastikan akses kepada pengangkutan awam ini benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak merentasi daerah mahupun bandar-bandar tertentu.

"Ketiga, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mestilah memberi penekanan terhadap aspek pengangkutan bas awam dalam setiap perancangan bandar," jelas beliau.

Lihat Komen
ADS