Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
RON95 jadi RM2.70 seliter Jun ini?
Diterbitkan:  Feb 6, 2017 4:49 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Harga petrol dan diesel dijangka terus meningkat pada beberapa bulan akan datang dengan RON95 boleh mencapai tahap RM2.70 seliter pada Jun.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata keadaan itu boleh berlaku jika kerajaan tidak memperkenalkan kaedah harga siling atau mengembalikan subsidi.

"Hari ini saya ingin menambah lagi berita buruk kepada rakyat Malaysia dengan memberi amaran lebih awal bahawa harga petrol dan diesel dijangka terus kekal pada paras yang tinggi (sekitar RM2.30 seliter) dalam beberapa bulan akan datang.

"Malah, saya menjangkakan harga petrol dan diesel akan terus naik pada beberapa bulan akan datang dan berkemungkinan mencecah RM2.70 (seliter) menjelang Jun 2017 sekiranya harga siling tidak diperkenalkan dan subsidi tidak dikembalikan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Harga petrol dan diesel kini berada pada paras tertinggi sejak Januari 2016 ekoran kenaikan terbaru sebanyak 20 sen mulai 1 Februari lalu.

RON95 kini dijual pada harga RM2.30 seliter manakala RON97 RM2.60 seliter. Diesel pula berada pada harga RM2.15 seliter.

Bagi tempoh itu kadar terendah petrol dicatatkan pada Mac 2016 apabila ia dijual pada harga RM1.60 dan RM1.95 seliter, masing-masing bagi RON95 dan RON97. Diesel pula dijual pada harga RM1.35 seliter untuk tempoh Februari dan Mac 2016.

Harga jualan bagi Disember pula ialah RM1.90 bagi RON95, RM2.25 untuk RON97 dan RM1.85 diesel.

Mulai Januari ia meningkat masing-masing sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel, serta 15 sen untuk RON97.

Lebih AS$56 satu tong

Kata Rafizi, beliau menyatakan pada 30 Disember 2016 bahawa harga RON95 akan kekal melebihi paras RM2.20 seliter pada empat hingga lima bulan pertama tahun ini.

Oleh sebab itulah, kata anggota parlimen Pandan itu, dalam kenyataan medianya telah mendesak Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan harga siling bagi RON95 pada harga RM2 seliter.

Sebarang kenaikan harga melepasi RM2 seliter, katanya, perlu ditanggung melalui kaedah pemberian subsidi minyak.

"Kenaikan harga petrol dan diesel di Malaysia juga berpunca daripada kejatuhan nilai ringgit yang lebih teruk berbanding matawang lain, bukannya disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah semata-mata," katanya.

Untuk menjelaskan anggaran terbaru itu, Rafizi memetik unjuran Bank Dunia terhadap minyak mentah yang kekal meningkat daripada AS$55 satu tong kepada AS$60 satu tong.

Unit Intelligence Economist (EIU) juga mengunjurkan kenaikan harga minyak mentah dari AS$56.50 setong (pada 2017) kepada AS$60.50 setong (2018).

"Menteri Minyak Russia, Alexander Novak, menyatakan lambakan bekalan minyak mentah dunia (yang menyebabkan harga minyak mentah jatuh merudum) akan berakhir menjelang pertengahan tahun ini.

"Ini bermakna, harga minyak mentah menjelang pertengahan tahun ini dijangka lebih tinggi daripada AS$56 setong," katanya lagi.

Jika harga minyak mentah terus meningkat seperti diunjurkan dan kadar tukaran ringgit kekal rendah, Rafizi berkata, kemungkinan besar rakyat Malaysia terpaksa membayar RM2.70 seliter bagi RON95 menjelang Jun 2017.

"Kali terakhir harga RON95 mencecah paras itu ialah pada Jun 2008, tetapi harga itu melambangkan harga minyak mentah dunia iaitu AS$121 satu tong.

"Alasan kemarahan rakyat terhadap kos sara hidup yang melonjak naik adalah antara alasan yang digunakan untuk membolehkan Najib mengambil alih kerusi perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Pada Jun nanti, kata Rafizi, sekiranya Najib berdegil enggan memperkenalkan harga siling RM2 dan mengembalikan subsidi, harga RM2.70 itu akan dipaksakan ke atas rakyat pada harga minyak mentah dunia hanya sekitar AS$60 setong (iaitu separuh dari harga minyak mentah dunia semasa Abdullah menetapkan harga RON95 pada paras RM2.70 seliter).

"Itu lambang betapa merudumnya nilai ringgit di bawah pentadbiran Najib.

"Nilai ringgit kini - apabila dilihat kepada kuasa beli rakyat berkaitan harga petrol dan diesel - adalah separuh daripada nilai ringgit semasa Abdullah menjadi perdana menteri dulu. 

"Saya menyeru rakyat Malaysia terus menyatakan bantahan menggunakan #20sen supaya tekanan berterusan dapat mengelak kita membayar harga RM2.70 seliter bagi RON95 menjelang Jun 2017," katanya.

Lihat Komen
ADS