Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS gesa Terengganu jual saham FGV
Diterbitkan:  Feb 7, 2017 2:30 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat, Naraza Muda meminta kerajaan negeri Terengganu menjual semua kepentingan dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bagi mengurangkan risiko kerugian yang lebih besar.

"Merujuk perkembangan terbaharu mengenai kedudukan semasa harga saham FGV, kerajaan Terengganu perlu segera menjual semua kepentingan bagi mengurangkan risiko kerugian yang lebih besar.

"Sekarang berlaku unjuran kenaikan, namum ianya masih tidak melepasi paras harga RM2 sesaham berbanding harga saham terbitan permulaan (IPO) RM4.55 sewaktu FGV mula diniagakan pada 2012," katanya dalam kenyataan.

Terbaru, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd menjual lima juta saham dalam FGV pada 27 Januari yang lalu.

Susulan penjualan itu, jumlah sekuriti yang dipegang oleh koperasi tersebut dalam FGV sebanyak 206.76 juta saham atau 5.67 peratus, menurut FGV dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Sebelum itu, harga saham FGV jatuh 4.94 peratus berikutan pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang institusi tersebut tidak lagi mempunyai sebarang pegangan dalam syarikat tersebut.

Mengulas lanjut, Naraza berkata, kerajaan Terengganu memiliki sejumlah 16,515,000 unit saham dengan pelaburan bernilai RM75,143,250 melalui dua anak syarikatnya iaitu Yayasan Islam Terengganu dan PTB Ventures.

"Terengganu pernah mencatat kerugian RM55,325,250 sewaktu nilai saham FGV merudum sehingga ke paras RM1.20 sesaham," katanya.

Justeru, melihatkan perkembangan semasa, kerajaan Terengganu perlu mengambil tindakan segera agar kerugian semasa dapat dikecilkan, jelasnya.

"Adalah tidak patut kerajaan Terengganu terus membiarkan duit kerajaan dan rakyat Terengganu berisiko di dalam pelaburan saham FGV.

"Jika menjual kesemua saham FGV, kerajaan Terengganu mampu menyelamatkan RM31,378,000 jika dilupuskan pada harga semasa urusniaga pada 6 Febuari iaitu RM1.90 sesaham.

"Pun begitu, kerajaan Terengganu sudah pastinya mengalami kerugian dalam pelaburan FGV sebanyak RM43,764,750 berbanding nilai pelaburan asal RM75juta," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS