Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PKR sebar buku penerangan Akta 355
Diterbitkan:  Feb 9, 2017 11:39 AM
Dikemaskini: 6:24 AM

PKR hari ini menampilkan sebuah buku risalah mengenai pendiriannya berkenaan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, sekali gus bagi memberi penerangan berkaitan isu itu.

Menurut ketua penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, parti itu percaya buku kecil bertajuk “Pemerkasaan Perundangan Syariah Di Malaysia” itu boleh meleraikan kekusutan dan kekeliruan yang timbul.

"Ia turut menyentuh kecelaruan kefahaman dan persepsi masyarakat terhadap RUU355, memetik panduan dan contoh tindakan oleh ilmuan dan pemerintah dalam soal penetapan hukum, menegaskan kepentingan melaksana keadilan dan menangkis sikap melampau serta merujuk kepada pengalaman dan perkembangan negara-negara umat Islam yang lain," katanya pada kenyataan media.

Katanya, buku risalah setebal 34 muka surat berkenaan merupakan inisiatif Biro Penerangan dan Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

Buku yang dicetak dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu memuatkan pendirian parti itu berhubung pindaan akta tersebut, berasaskan kepada pendirian presidennya pada 20 Oktober 2016.

Tambahnya, PKR juga akan mengedar buku risalah berkenaan melalui saluran PKR negeri dan cabang PKR seluruh negara terutamanya kepada masjid-masjid, surau dan madrasah.

"Penyerahan khusus juga akan dibuat kepada institusi-institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pejabat-pejabat mufti negeri, jabatan-jabatan dan majlis-majlis agama Islam negeri.

"Selain itu, penyerahan juga akan dibuat kepada Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri serta badan-badan bukan kerajaan Islam dan bukan Islam. Tidak ketinggalan juga kepada parti-parti politik dan pihak media," katanya.

Tambahnya, buku risalah berkenaan boleh dirujuk secara atas talian melalui laman sesawang PKR, http://keadilanrakyat.org/syariah.

PAS, diketuai presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berusaha untuk membawa usul bagi meminda Akta 355.

Ia bagi membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman lebih berat dengan meningkatkan had hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan kepada penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Pada November lalu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata pendirian berkaitan usul itu hanya boleh ditentukan setelah penjelasan terperinci Abdul hadi dan jaminan perdana menteri bahawa hak-hak bawah perlembagaan akan dilindungi.

PKR berkata mana-mana pindaan undang-undang sedia ada mesti memenuhi prinsip murni keadilan dan kesaksamaan Islam serta tidak bercanggah dengan teks dan semangat perlembagaan dan Perjanjian Malaysia.

 

Lihat Komen
ADS