Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi mahu TH tubuh pasukan audit bebas
Diterbitkan:  Feb 13, 2017 4:05 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mencadangkan semua keputusan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak tahun 2000 diaudit oleh sebuah pasukan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan.

Beliau yang juga naib presiden PKR berkata, langkah itu bagi memastikan tidak ada unsur kecuaian, salah guna kuasa atau tindakan oleh pihak pengurusan kanan TH bagi mendapat laba.

"Saya mendesak supaya Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pengarah TH, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim supaya menyiasat semua keputusan pelaburan yang pernah dicadangkan dan dibawa oleh beberapa pengurus kanan TH.

"Ini bagi memastikan semua pelaburan Tabung Haji adalah berisiko rendah dan menguntungkan," jelas beliau dalam kenyataan.

Baru-baru ini, TH mengumumkan agihan bonus atau hibah kepada pendeposit, merangkumi 4.25 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 1.5 peratus kepada yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, semua ini melibatkan pembayaran sebanyak RM2.88 bilion.

Jelas Jamil Khir, bayaran hibah berkenaan secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada 9.1 juta pendeposit manakala tambahan bonus haji pula akan memanfaatkan 8.5 juta pendeposit yang belum pernah menunaikan haji.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sebagai anggota Parlimen dan pemimpin kanan parti pembangkang, beliau meletakkan piawai prestasi pelaburan TH mestilah sama baik atau lebih baik dari syarikat-syarikat pelaburan komersil yang lain.

"Ini kerana TH bukan sahaja mendapat monopoli dari segi simpanan deposit bakal jemaah haji yang wajib disimpan di TH sahaja, malah ia juga mendapat banyak kemudahan dan keistimewaan lain dari kerajaan.

"Maka, bila pelaburan di dalam syarikat-syarikat tertentu yang melibatkan ratusan juta wang pendeposit Tabung Haji hangus begitu sahaja, saya juga telah menyiasat siapakah individu-individu yang menjadi wakil kepada Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS