Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu dana RM90 juta Umno: PAS label Husam 'pondan'
Diterbitkan:  Feb 14, 2017 11:47 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

Pemuda PAS Kelantan hari ini mencabar ADUN Salor, Datuk Husam Musa supaya menamakan individu yang telah menerima dana berjumlah RM90 juta daripada Umno dan tidak hanya membuat tomahan liar.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari dipetik akhbar milik Umno, Utusan Malaysia sebagai melabelkan bekas naib presiden parti itu sebagai ‘pondan’ kerana takut untuk mendedahkan individu berkenaan.

“Jika di pihak yang benar, Husam tidak perlu takut sebaliknya perlu berani tampil mengemukakan bukti berhubung tuduhan tersebut.

“Sebagai pemegang jawatan dalam PAS, saya menegaskan tuduhan tersebut tidak benar dan bertujuan untuk merosakkan nama baik parti ini,” katanya dipetik akhbar itu ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas hari ini.

Ahmad Fadhli, sebelum itu membuat laporan polis berhubung tuduhan Husam mengenai perkara tersebut ketika berceramah di Pasir Puteh pada 6 Febuari lalu dengan diiringi lebih 30 penyokong PAS.

Pada ceramahnya, Husam mendakwa ada dana bernilai RM90 juta disalurkan melalui akaun di Affin Bank kepada PAS. Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Rakaman singkat video ucapan Husam itu tersebar di media sosial dan dimuat naik di YouTube.

Husam membayangkan untuk mendedahkan lebih banyak butiran mengenai isu berkenaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Isu RM90 juta mula dibangkitkan oleh portal Sarawak Report pada Ogos tahun lalu. Berikutan dakwaan itu PAS menyatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web berkenaan.

Sementara itu, portal Harakahdaily memetik Ahmad Fadhli berkata laporan polis dibuat berikutan tuduhan Penasihat Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan yang tidak berasas terhadap PAS.

Katanya, laporan dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan menyebar maklumat palsu.

"Kami mohon agar siasatan itu dilakukan segera. Hari ini bukan setakat Pasir Mas dan Rantau Panjang, bahkan 12 kawasan lain turut mengambil tindakan serupa," katanya.

Lihat Komen
ADS