Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS ragu dengan laporan sendiri, soal Husam
Diterbitkan:  Feb 14, 2017 4:58 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

ADUN Salor, Datuk Husam Musa mempersoalkan tindakan Pemuda PAS yang membuat laporan polis di banyak balai di seluruh negara ke atas saya, tetapi gagal melaporkan penyelewengan wang negara yang merugikan rakyat seperti 1MDB.

Dalam satu kenyataan, katanya, beliau tidak nampak rasionalnya membuat lebih dari satu laporan polis.

Husam pada satu ucapannya, baru-baru ini mendakwa PAS menerima dana berjumlah RM90 juta daripada Umno.

“Saya berpendapat, kebenaran tidak boleh ditegakkan hanya dengan membanyakkan laporan polis.

“Ia hanya menunjukkan politik pra matang, ragu, mengada-ngada dan politik meriam buluh dan bom asap.

“Akan tiba masanya, perbuatan buruk menjelma dan terserlah,” katanya.

Dalam nada menyindir, bekas naib presiden PAS itu bekata, alang-alang ke balai polis, kes-kes salah guna dan penyelewengan wang negara seperti 1MDB patut juga dilaporkan.

“Jika tidak, ia akan menimbulkan pertanyaan sejauh mana Pemuda PAS mengambil berat nasib rakyat dan negara lebih dari mereka dan parti mereka semata-mata,” katanya.

Hari ini, Pemuda PAS di beberapa lokasi, termasuk di Wilayah Persekutuan dan Kelantan membuat laporan polis ke atas bekas pemimpin mereka itu.

Tangguh saman

Bagaimanapun Ketua Pemuda PAS Wilayah Khairil Nizam Khirudin (bawah, kiri) berkata PAS memfokuskan terhadap laporan polis terlebih dahulu berbanding saman yang pernah dinyatakan sebelum ini setelah mendapat pandangan dari pihak peguam.

“Saya rasa kita sedang melihat guaman sama ada boleh saman atau tidak bergantung kepada undang-undang.

"Kita tengok dulu bacaan peguam PAS dan mengikut pandangan mereka lebih baik kita lakukan laporan polis (terlebih dahulu),” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Husam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Husam pada ceramahnya mendakwa ada dana bernilai RM90 juta disalurkan melalui akaun di Affin Bank kepada PAS. Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Rakaman singkat video ucapan Husam itu tersebar di media sosial dan dimuat naik di YouTube.

Husam membayangkan untuk mendedahkan lebih banyak butiran mengenai isu berkenaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Isu RM90 juta mula dibangkitkan oleh portal Sarawak Report pada Ogos tahun lalu. Berikutan dakwaan itu PAS menyatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web berkenaan.

Lihat Komen
ADS