Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada akhbar Melayu diberi surat tunjuk sebab - TPM
Diterbitkan:  Feb 14, 2017 5:38 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Tidak ada surat tunjuk sebab mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 diberikan kepada syarikat akhbar berbahasa Melayu tahun lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Daripada lapan surat yang dikeluarkan, katanya, tujuh diberikan kepada akhbar berbahasa Tamil dan satu kepada akhbar berbahasa Inggeris.

Portal Utusan Online juga memetik Ahmad Zahid yang juga adalah menteri dalam negeri sebagai berkata, tahun lalu juga menyaksikan 77 surat nasihat dikeluarkan kepada syarikat penerbitan di negara ini.

"Daripada jumlah ini sebanyak 29 surat dihantar kepada akhbar berbahasa Tamil, 21 kepada akhbar berbahasa Cina, 18 kepada akhbar berbahasa Inggeris dan sembilan akhbar berbahasa Melayu.

"Manakala sembilan surat teguran dikeluarkan iaitu lima kepada akhbar berbahasa Cina, tiga akhbar berbahasa Melayu dan satu Tamil," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata, sejak awal 2013 sehingga Disember 2015 sebanyak 50 kes telah dibawa ke mahkamah di seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 233 yang melibatkan hasutan dan komen yang memudaratkan.

Menurutnya, sejak 2010 hingga Mac tahun lalu seramai 22 pemilik rangkaian sosial, laman web dan blog telah dituduh di mahkamah kerana menyalahgunakan medium tersebut untuk pelbagai tujuan.

"Jangan tuduh kerajaan tidak melakukan sesuatu bagi menyekat penyebaran fitnah di negara ini.

“Dan bila kita mengambil tindakan jangan kata kita menyekat kebebasan media," katanya lagi kepada portal milik Umno itu.

Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menunjukkan setakat tahun lalu sejumlah 20.62 juta rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial.

Lihat Komen
ADS