Paling Popular
Terkini

GLOBAL l Esok 'keimanan' lebih tujuh juta pengundi jakarta akan diuji.

Ada dua tokoh Muslim yang relatif muda, berbangsa Jawa dan beragama Islam. Di antara keduanya ada seorang tokoh lain yang dilawakkan seorang wartawan tempatan sebagai pembawa tiga 'dosa besar'.

Dia ialah Basuki Tjahaya Purnama - atau lebih dikenali sebagai Ahok.

Di Jakarta yang menjadi pusat pemerintah sebuah negara umat Islam terbesar di dunia, seorang lelaki Cina, tidak beragama Islam dan bermulut 'celupar' cuba mendapat mandat majorti pengundi untuk kekal sebagai gabenor Jakarta.

Suasana secara umumnya tenang - sesuai dengan peraturan pilihan raya yang memperuntukkan tempoh bertenang antara kempen dan hari pembuangan undi. Hari terakhir semua calon berkempen ialah pada 11 Februari.

Sepanjang tempoh 12 hingga 14 Februari ditetapkan sebagai tempoh bertenang. Pembuangan undi berlangsung sejak pagi hingga awal petang 15 Februari dan keputusan awal dijangka dapat diperoleh seawal ja 3 petang.

Secara umum populariti Ahok memang tinggi. Dengan pelbagai kebijakan dilakukannya Ahok mendapat dokongan penngundi terbayak - jika diukur kepada populariti.

Tetapi itulah Ahok. Dia membawa bersama pada tubuhnya tiga 'dosa' besar. Di tengah majoriti penduduk Jakarta yang beragama Islam, berbangsa Jawa yang kental dengan sikap berkias dan berlapik, serta beragama Islam dia cuba mendapatkan keyakinan melalui proses demokrasi.

Masalahnya Ahok berbangsa Cina, beragama Kristian dan bermulut lantang.

Kemudian terjadi pula peristiwa apabila ucapannya didakwa menghina Islam - agama yang dianuti bukan saja tujuh juta pengundi Jakarta, malah lebih 200 juta penduduk Indonesia.

Kemudian muncul pula watak Rizieq Shihab yang berjubah dan berserban itu. Tanpa berada dalam mana-mana parti politik syarahan, ajakan dan idea pemimpin Front Pembela Islam (FPI) itu mudah menyatuhakn masyarakat Islam yang sebelumnya berpecah-belah di Jakarta.

Adakah mereka - umat Islam itu - bersatu melawan Ahok? Ya, dan tidak.

Ya kerana mereka bersama-sama memarahi dan mengajak massa menolak Ahok. Namun pada masa sama mereka diyakini tetap berpuak-puak mengikut idealisme dan objektif masing-masing. Mereka bersama kerana berdepan dengan musuh yang sama.

Ia bukanlah kerjasama yang padu dan meyakini. Namun sekurang-kurangnya melegakan banyak pihak, termasuk Rizieq dan dua lagi pencabar Ahok - bekas menteri Anies Baswedan (yang berpasangan dengan Sandiaga Uno) dan Agus H Yudhoyono (bergandingan dengan Sylviana Murni).

Cuma ia tidak semudah itu. Pemilihan gabenor jauh lebih berbelit dan kompleks. Untuk memahami mengapa Rizieq dan FPI nampak marah benar kepada Ahok, seseorang perlu melihat kembali sejarah lama bagaimana pertubuhan itu terbentuk. Dan tidak kurang penting, siapa yang mendalangi penubuhannya.

Pada belakang calon-calon yang mencabar Ahok juga ada watak-watak lain yang diyakini bercita-cita tinggi dalam politik. Agus itu sendiri adalah anak bekas presiden keenam Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Anies itu pula dikaitkan dengan datuknya yang juga seorang pejuang kemerdekaan.

Ketika Agus dilihat elitis - kerana statusnya sebagai anak pegawai besar tentera dan kemudian menjadi presiden - Anies pula sebaliknya merakyat dan spontan. Masalahnya, di sebalik populariti Anies, dia sendiri diketepikan oleh Presiden Joko Widodo dalam rombakan kabinet sebelum ini.

Hujah mudah, jika Anies itu benar-benar berwibawa dan berkemampuan, mengapa pula Joko Widodo mengetepikannya?

Dan pada kedua-dua tokoh itu, mereka dilihat menumpang - sama ada secara langsung atau tidak - kepada populariti bapa atau datuk masing-masing.

Adakah kerana itu Ahok calon terbaik? Tentu tidak. Selain "tiga dosa besar" Ahok, pentadbirannnya juga tidak disenangi oleh rakyat kerana dasar yang dilaksanakannnya. Projek penambakan laut dan pengusiran penduduk di Jakarta Utara menjadikan popularitinya terjejas.

Kes penghinaan terhadap Islam yang dikenakan kepadanya hanya memburukkan lagi keadaan.

Diyakini tidak akan ada pemenang mutlak pada pilihan raya gabenor Jakarta esok. Justeru, dua pemenang utama perlu dipertemukan semula pada pusingan kedua yang diadakan kira-kira dua bulan lagi.

Dan penyokong calon yang terbawah mungkin memberi kesan kepada dua calon yang menyertai pusingan kedua nanti.

Pengaruh 'keimanan' dalam menentukan pemenang pilihan raya gabenor Jakarta akan mula dilihat pada awal petang esok. Ia tidak saja penting untuk melihat siapa yang bakal mentadbir Jakarta, sebaliknya memberi bayangan kepada pola politik masa depan Indonesia secara keseluruhan.

Seperti kata orang, gabenor Jakarta itu berada pada lapis ketiga kepimpinan terpenting di Indonesia selepas presiden dan naib presiden.

Lihat Komen
ADS