Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bicara kes saman fitnah Najib ke atas Pua pada 18 Sept
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 11:43 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan bermula dari 18 hingga 20 Sept.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Najib dan Alliff Benjamin Suhaimi bertindak bagi pihak Pua.

Alliff Benjamin yang ditemui pemberita berkata mahkamah juga menetapkan 3 April bagi mendengar permohonan Pua untuk membatalkan saman Najib.

Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu pada 5 Mac tahun lepas dengan menamakan Pua, 43, sebagai defendan pertama dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 52, sebagai defendan kedua berhubung isu 1MDB.

Najib selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya, berkata pada 13 Nov 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri dan atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman sesawang Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Menurutnya rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya serta individu dikenali sebagai 'perdana menteri' dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya (Najib).

Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.

- Bernama

Lihat Komen
ADS