Paling Popular
Terkini

PAS hari ini melahirkan keyakinan bahawa Himpunan Akta 355 yang diadakan esok akan mencapai sasaran, kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana membenarkan himpunan tersebut diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

"Kita ucap terima kasih pada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang telah membenarkan untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi himpunan dan pihak polis yang beri kerjasama untuk berkawal dan beri permit kebenaran berhimpun.

"Kita juga ucap terima kasih kepada semua pihak dan yakin himpunan ini akan capai sasaran sebagaimana yang kita uar-uarkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Gombak.

Sementara itu, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi turut memberi jaminan himpunan di Kuala Lumpur esok akan berjalan lancar dan aman.

Beliau berkata pasukan keselamatan juga telah berjanji akan melakukan yang terbaik bagi memastikan aspek keselamatan orang ramai yang menyertai perhimpunan itu.

"Himpunan ini juga mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa keselamatan, jadi apa sahaja tindakan provokasi yang cuba dicetuskan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab akan diambil tindakan oleh pasukan keselamatan," katanya, lapor Bernama.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan, PAS akan mengadakan himpunan mega bagi memberi penerangan tentang pindaan rang undang-undang Akta 355.

Himpunan itu bakal turut disertai ratusan NGO yang menyokong pindaan berkenaan. PAS turut mensasarkan seramai kira-kira 300,000 penyokong yang terdiri daripada anggota parti, NGO dan orang awam.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut dilapor akan menyertai himpunan berkenaan esok.

 

Lihat Komen
ADS