Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH mahu UMS gugur tindakan disiplin terhadap siswa
Diterbitkan:  Feb 17, 2017 6:26 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

BERSIH menggesa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggugurkan prosiding disiplin terhadap dua mahasiswa di universiti itu, sekali gus mengakui kebebasan yang dijamin Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Ia berikutan tindakan disiplin yang bakal dikenakan terhadap dua mahasiswanya, Mukmin Nantang dan Nurul Aqilah Muhammad Zainuzi kerana menghadiri himpunan BERSIH 5, tahun lalu.

"UMS jelas tidak menghormati kebebasan mahasiswa-mahasiswi dengan membatasi hak-hak perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun, dan berpesatuan.

"UMS sepatutnya mempertahan hak-hak Mukmin dan Nurul Aqilah yang berani dan matang mengambil bahagian dalam proses demokratik dan menyumbang membentuk tanah air yang lebih baik, dan bukannya diugut dengan tindakan," kata gabungan itu dalam kenyataan media.

Sebagai sebuah institusi pendidikan yang terkemuka, UMS wajib menggalakkan wacana yang bernas dan pemikiran kritikal, tanpa mengira kedudukan politik, katanya.

BERSIH 2.0 turut menyaran pihak berkuasa meneliti gesaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) agar melakukan pembaharuan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Nurul Aqilah dan Mukmin, sebelum ini berdepan tindakan disiplin di bawah Auku kerana menghadiri himpunan BERSIH pada November tahun lalu.

Mereka didakwa melanggar Kaedah 3 (a)(ii) Kaedah-Kaedah Tatatertib UMS yang menyatakan pelajar tidak dibenarkan menjalankan urusannya, sama ada di dalam Kampus atau di luar kampus, dalam apa-apa cara yang merosakkan atau memudaratkan ketenteraman atau keselamatan awam, moral, kesopanan atau tatatertib.

Kedua-duanya dijangka berdepan lembaga disiplin pada 21 Februari ini.

 


 

Lihat Komen
ADS