Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Umno dan BN akan mula menggerakkan jentera penerangan bermula Mac ini bagi menjelaskan secara terperinci keputusan Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia pada 1990-an.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, penerangan di seluruh negara itu perlu dibuat memandangkan pada ketika ini terdapat pihak yang cuba membandingkannya dengan isu 1MDB yang disifatkkannya sebagai tidak relevan.

"Kenapa ia ditubuhkan jawatankuasa (pasukan petugas khas) ini, kenapa tidak 1MDB. Ini akan dijelaskan (dalam jelajah). Kehilangan wang (dalam skandal Forex) sebenarnya tidak disiasat sebagai laporan kehilangan sebenar wang kerajaan.

"Skandal ini membabitkan dana kerajaan dan ia jelas berbeza dengan keadaan dalam 1MDB, yang guna RM1 juta dana kerajaan (dana awal 1MDB). 1MDB juga entiti yang sudah melalui siasatan dan ia hanya sebuah syarikat," katanya kepada pemberita dalam sidang media di PWTC.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata, skandal forex jelas merupaan satu bentuk kehilangan sebenar dana rakyat manakala pasukan khas itu akan menerangkan secara terperinci mengenai perkara itu.

Annuar, bagaimanapun, menafikan sesi penerangan ini adalah pecutan akhir sebelum menuju pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Malah, jelasnya, ia adalah perkara yang perlu di jelaskan tanpa mengira bila PRU akan diadakan.

Sesi penerangan pertama akan bermula pada 25 Februari ini di Parlimen Hulu Selangor sebelum bergerak ke kawasan lain, tambahnya.

"Penerangan di kawasan negeri pula akan bermula pada 1 Mac ini membabitkan kerjasama dari semua pucuk pimpinan dan pemimpin akar umbi," katanya lagi.

Jelasnya, jawatankuasa penerangan Umno juga kini memfokuskan kepada tiga gerakan intensif penerangan iaitu melalui ceramah bersemuka di pelbagai peringkat, penyebaran maklumat melalui media elektronik dan cetak serta media baru.

Sementara itu, mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai himpunan Akta 355 semalam bermotifkan politik, kata Annuar, ia tidak menjadi kesalahan.

“Kenyataan Tun kata macam itu pun bermotifkan politik. Kita semua (ahli politik) dekat Malaysia bermotifkan politik dan seharusnya begitu.

“Mesti kalau buat apa-apa bermotif politik dan bukan jadi kesalahan kerana politik itu adalah soal kepentingan rakyat,” katanya.

Annuar berkata, setiap pihak tidak seharusnya memandang rendah terhadap politik dan perkara itu seharusnya diambil dari sudut yang positif.

“Jangan pandang rendah politik. Ni kalau ada orang politik kita pandang hina dan negatif pada orang poltik.

“Politik tentang kebajikan rakyat dan bagaimana kita mentadbir negara serta perkara-perkara yang memberi kesan kepada rakyat, tidak ada yang buruk jika kaitkan dengan politik,” katanya.

Himpunan pimpinan PAS di Padang Merbok semalam dianjurkan untuk mendapatkan sokongan ke atas usul Rang Undang-Undang Persendirian oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta 355 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Mac akan datang.

Para pengkritik menyifatkan perhimpunan itu sebagai platform untuk menyatukan PAS dan pemimpin Umno menjelang pilihan raya umum ke-14 ekoran sokongan beberapa pemimpin dari parti pemerintah.

Para pemimpin kanan PAS menegaskan pihaknya tidak akan meneruskan kerjasama politik dengan Umno tetapi masih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong agenda untuk menegakkan Islam itu.

Lihat Komen
ADS