Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kemalangan basikal: Rosmah nasihat tegas pada anak

Susulan insiden maut remaja berbasikal di Johor, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan ibu bapa supaya lebih tegas memantau pergerakan anak-anak.

Melahirkan rasa sedih dengan kejadian berkenaan, Rosmah berharap ibu-bapa dapat memberi perhatian penuh kepada anak-anak.

"Saya merasa amat sedih dengan kejadian tersebut. Saya harap ibu-bapa dapat beri perhatian sepenuhnya kepada anak-anak mereka.

"Kalau mereka keluar, seharusnya ibu-bapa mengetahui dengan siapa mereka keluar, apa mereka buat dan pukul berapa seharusnya mereka balik.

"Ibu bapa perlu tegas," katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran seminar “Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!” di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, lapan remaja lelaki maut manakala lapan lagi cedera termasuk dua kritikal apabila basikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, dekat Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata dalam kejadian pukul 3 pagi itu, sekumpulan 20 hingga 30 remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan-jalan sekitar sebelum dirempuh seorang pemandu wanita.

Katanya, pemandu berusia 22 tahun itu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan remaja berkenaan yang berusia antara 13 dan 17 tahun itu.

Selain itu, Rosmah turut bersetuju dengan kenyataan Sultan Johor yang menasihatkan ibu-bapa agar tidak membiarkan anak mereka 'merayau' hingga ke pagi.

"Bak kata Sultan Johor (Sultan Ibrahim Iskandar), biar dia menangis, jangan kita menangis. Saya setuju dengan apa yang dikatakan. Kita tak boleh biarkan anak kita merayau-rayau tengah malam sampai pukul 3 pagi.

"Jadi saya harap ibu-bapa ambil tahu tentang anak-anak apabila mereka keluar rumah dan tak balik hingga awal pagi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS