Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cari aktiviti untuk pelajar manfaatkan waktu - Menteri

Semua pihak berkepentingan perlu mencari jalan dan pendekatan berkaitan aktiviti di luar waktu sekolah yang boleh dimanfaatkan
pelajar, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata ibu bapa, guru, polis, persatuan ibu bapa dan guru serta persatuan alumni sekolah yang bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan pendidikan perlu duduk semeja bagi membincangkan perkara itu dan cari jalan penyelesaian.

"Semua pihak yang mempunyai kepentingan dengan remaja (pelajar) perlu bermuafakat mencari apa juga pilihan atau alternatif berkaitan dengan aktiviti (yang bermanfaat untuk pelajar) di luar waktu sekolah," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan mesyuarat Majlis Kerjasama Kepimpinan Yayasan (MKKY) ke-26 di Seremban, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tragedi lapan remaja berusia 13 hingga 16 tahun yang menunggang basikal, maut selepas dirempuh sebuah kereta di Johor Bahru dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi Sabtu lepas.

"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dan siapa yang perlu bertanggungjawab (berhubung tragedi itu)... mungkin kita boleh beri kaunseling atau khidmat nasihat yang lebih baik untuk anak-anak remaja ini. Peristiwa ini telah berlaku dan ia amat menyedihkan sekali," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan hanya bertanggungjawab ke atas pelajar pada waktu sesi persekolahan sahaja, dan yang menjadi masalah adalah di luar waktu sekolah yang mungkin mereka terlibat dalam aktiviti tidak sihat dan membahayakan diri.

Mengenai program hari ini, Mahdzir berkata inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar kurang cemerlang akademik untuk meneruskan pengajian dalam pendidikan teknik, vokasional dan latihan (TVET).

Katanya mereka boleh mengikuti kursus-kursus kemahiran jangka pendek (tiga hingga enam bulan) yang ditawarkan oleh Yayasan Negeri masing-masing dan mereka yang telah menamatkan pengajian akan mendapat sijil dan ditawarkan pekerjaan.
-Bernama

Lihat Komen
ADS