Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Industri getah M'sia tak malap, kata menteri
Diterbitkan:  Feb 20, 2017 5:28 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Industri getah Malaysia bukan industri yang malap susulan permintaan bagi produk getah dengan kejuruteraan bernilai tinggi dari pelbagai negara, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan produk getah dengan kejuruteraan bernilai tinggi yang digunakan terutamanya dalam bidang kejuruteraan gempa bumi dan getaran.

Mah berkata pengeluar Malaysia telah membekalkan galas getah seismik ke negara-negara yang mempunyai aktiviti seismik yang tinggi seperti New Zealand, Iran, Indonesia, Turki dan China.

"Produk getah kita bertaraf dunia. Oleh itu, industri getah sudah tentu bukan industri yang malap," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Doshin Rubber Products (M) Sdn Bhd, hari ini.

Mah berkata produk hiliran getah di Malaysia akan menjadi sebahagian daripada Transformasi Nasional 2050 ke arah mengeluarkan produk dengan nilai tambah yang tinggi dan berteknologi tinggi.

Beliau turut memuji Doshin, antara pengeluar produk getah terbesar bagi tujuan kejuruteraan, yang bukan sahaja mengeluarkan galas berstruktur, tetapi juga menjadi penggiat utama dalam industri penebat getaran dan perlindungan daripada gempa bumi.

Mah berkata eksport galas berstruktur, yang dikategorikan sebagai produk teknikal dalam sektor barangan getah industri dan am, mencatat peningkatan yang ketara dalam beberapa tahun ini.

Beliau berkata eksport galas berstruktur Malaysia meningkat sebanyak 36.2 peratus kepada RM14.14 juta pada 2016 berbanding RM10.38 juta pada 2015.

- Bernama

Lihat Komen
ADS