Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kisah Sofian jatuh cinta pada nenek 82 tahun
Diterbitkan:  Feb 20, 2017 5:54 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

GLOBAL Sofian Loho Dandel (28) dari Pulau Mantehage, Minahasa Utara, Indonesia tidak menyangka jodohnya adalah dengan seorang nenek berusia 82 tahun.

Walaupun berbeza usia 54 tahun, ternyata faktor umur tidak menghalang percintaan mereka.

Ketika ditemui di rumah Martha, pasangan itu yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan mereka Sabtu lalu, tidak segan silu menunjukkan kemesraan.

Sofian merangkul Martha ketika sesi wawancara bersama Kompas.com, sebelum menceritakan kisah bagaimana dia mula menemui cinta hatinya itu.

"Setahun lalu ada panggilan telefon masuk ke tefon bimbit saya. Tak tahu siapa, saya jawab dan kami berkenalan. Mulai dari situ kami terus berkomunikasi," cerita Sofian seperti dilapor Kompas.

Bermula saat itu, Sofian yang ketika itu bekerja di sebuah bengkel di Kotamobagu, merasa mulai menemui cinta sejati.

"Saya belum pernah pacaran sebelumnya. Saya merasa jatuh cinta," kata Sofian.

Sofian kemudian nekad menemui Martha di Lelama, yang jaraknya agak jauh dari rumahnya di Pulau Mantehage.

Ketika pertama kali bertemu Martha, Sofian terkejut kerana tidak menyangka usia kekasihnya setua itu.

"Saya tidak tahu kalau Martha sudah setua ini. Namun, kami merasa benar-benar jatuh cinta, dan sepakat meneruskan hubungan ini," katanya Sofian.

Merasa cocok antara satu sama lain, pasangan yang mabuk cinta itu merancang untuk mengikat tali perkahwinan yang sah. Bagaimanapun rancangan itu ditentang banyak pihak, terutama dari keluarga Martha.

Sofian kemudian menyampaikan hasrat kepada orang tuanya dan mengajak kedua ibu bapanya menemui Martha bagi melamar wanita itu. Bagaimanapun sewaktu datang ke rumah Martha, Sofian tidak memberitahu mengenai usia calon isterinya.

"Kami tidak tahu kalau calon istrinya seorang nenek. Sangat terkejut waktu itu, tetapi mau bilang apa. Kami lihat mereka saling menyayangi, ya kami setuju saja dengan pilihannya. Jodohkan urusan Tuhan," ujar Magdalena (60), ibu Sofian yang turut bersama Sofian dan Martha ketika ditemubual.

Pernikahan mereka menjadi tular apabila salah seorang tetamu majlis, memuat naik gambar pasangan tersebut ke media sosial. Pelbagai tanggapan dilontarkan oleh netizen dan ramai yang mengejek pilihan Sofian.

"Sama seperti yang pendeta sampaikan sewaktu perkahwinan, kami akan setia sampai selamanya, sampai Tuhan mengizinkan hidup kami," kata Sofian yang sempat diaminkan Martha.

Suami Martha meninggal dunia 10 tahun lalu dan sejak itu wanita itu tinggal sendirian di rumahnya, manakala dua anaknya kini berada di Jerman dan Arab Saudi.

"Saya terus berdoa kepada Tuhan, jika masih diizinkan dan diberi kesempatan, saya meminta ada pendamping yang boleh mengurus saya pada usia tua ini. Tak sangka, Tuhan mengutus Sofian," kata Martha.

Pasangan romantis itu kini yakin melayari bahtera rumah tangga, dengan panggilan "mami-papi" kini menjadi gelaran manja antara mereka.

Lihat Komen
ADS