Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ayah: Aisyah rajin, manja, tak pernah nakal
Diterbitkan:  Feb 21, 2017 1:14 PM
Dikemaskini: Feb 27, 2017 5:42 AM

Keluarga Siti Aisyah, suspek wanita dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, hairan bagaimana anak bongsu mereka boleh berada di Malaysia.

Malah, setahu mereka, wanita berusia 25 tahun itu hanya bekerja sebagai jurujual pakaian di Batam.

Ayah wanita itu, Asria Nur Hasan, 56, berkata seluruh kaum keluarganya masih kebingungan dan tidak tahu berbuat apa-apa kecuali menangis bagaimana Siti Aisyah boleh merantau ke Malaysia tanpa pengetahuan keluarga.

Katanya, anaknya telah berhijrah ke Batam untuk bekerja sebagai jurujual pada 2012 selepas bercerai dengan suaminya, Gunawan Hasyim @Ajun, seorang ahli perniagaan dan mempunyai seorang anak lelaki, Rio, berusia tujuh tahun.

"Sejak dia berhijrah ke Batam, kami jarang jumpa dan kali terakhir dia pulang ialah pada Tahun Baharu Cina, bulan lepas," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rancasumur, Sindangsari Pabuaran, Serang, di Serang.

"Dia hanya beritahu bekerja sebagai jurujual jadi kami terkejut apabila dia telah melangkah jauh ke Malaysia," katanya.

"Siang malam kami asyik menangis mengenang nasib anak bongsu kami dan saya sangat-sangat ingin bertemu dengan dia," kata Asria.

Siti Aisyah adalah antara empat suspek ditahan oleh polis Malaysia bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam pada 13 Feb lepas.

Pada hari kejadian, Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila seorang wanita menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Beliau yang dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb menggunakan nama Kim Chol dalam pasportnya, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas mengadu kurang sihat kepada petugas di lapangan terbang itu dan diberi rawatan awal di klinik di situ.

Siti Aisyah adalah anak bongsu daripada tiga beradik - dua abangnya hanya bekerja sebagai buruh dan dibesarkan di sebuah kawasan terpencil manakala kehidupan ibu bapanya bergantung kepada jualan ubi dan kunyit.

Asria berkata anak perempuannya itu tidak berpelajaran tinggi tetapi dia seorang yang rajin bekerja dan nekad untuk keluar dari belenggu kemiskinan sejak kecil lagi.

"Walaupun hidup dalam kemiskinan, Siti Aisyah seorang yang rajin bekerja, bersikap manja dan tidak pernah nakal," katanya yang hanya mengetahui kes anaknya ditahan di Malaysia menerusi bekas besannya, Khamis lepas.

Menurutnya, hanya dua hari lepas, wakil Kementerian Luar Indonesia mengunjungi mereka untuk mengesahkan anaknya ditahan di Malaysia tetapi tidak memaklumkan apa sebenarnya berlaku.

Beliau juga menafikan laporan media tempatan kononnya Siti Aisyah fasih berbahasa Inggeris dan Korea kerana anaknya itu hanya berpendidikan sekolah agama peringkat sekolah rendah sahaja.

Dalam usia belasan tahun dia telah telah mula bekerja sebagai jurujual pakaian di Jakarta dan menjadi kebanggaan ibu bapa kerana dia mampu berdikari dan tidak pernah mengeluh kesusahan hidup yang dilaluinya, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS