Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yeo: Pembantu Rosmah ada penyakit amnesia?
Diterbitkan:  Feb 21, 2017 2:13 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama Yeo Bee Yin hari ini membidas Datuk Rizal Mansor, pembantu isteri perdana menteri, dalam isu Program Permata Negara.

“Beliau nampaknya mempunyai ingatan terpilih tentang apa yang telah kami bincangkan tentang PERMATA,” kata Yeo.

Rizal semalam meminta Pakatan Harapan merujuk kepada Yeo bagi mendapat penjelasan mengenai program PERMATA yang dinaungi Rosmah Mansor kerana wakil DAP itu diberi penerangan berkaitannya.

Rizal mempertahankan program pendidikan awal kanak-kanak itu untuk membela nasib kanak-kanak di luar bandar setaraf dengan kemudahan ditawarkan badan swasta.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab tiga pemimpin kanan HARAPAN, iaitu Khalid Samad bagi pihak Parti Amanah Negara (AMANAH), Saifuddin Abdullah (PKR) dan Liew Chin Tong (DAP).

Pakatan Harapan semalam menuntut beberapa badan, termasuk PERMATA, dimansuhkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Dalam kenyataannya, Yeo berkata, dalam lawatan beliau dan DAP ke PERMATA, mereka telah mencadangkan program itu diletakkan bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Yeo memberitahu, kenyataannya selari dengan pendapat rakan-rakannya dalam HARAPAN.

Selain itu, Yeo turut menuntut PERMATA mendedahkan akaun program mereka.

"Kita sebelum ini minta PERMATA mendedahkan akaunnya dan PERMATA meminta kami menulis kepada AG untuk melihat akaun tersebut.

"Tetapi pihak AG menjawab bahawa akaun yang telah diaudit telah dikembalikan kepada PERMATA dan mereka menyuruh kita meminta dari PERMATA.

"Kami kemudian menulis kepada PERMATA untuk melihat akaun program itu, tetapi mereka membalasnya pada 10 Januari lalu dengan mengatakan bahawa tiada keperluan bagi mereka untuk mendedahkan akaun tersebut," katanya.

'Tiang kayu', jawab Rizal

Sementara itu, Rizal dalam reaksi segeranya hari ini menempelak kembali Yeo.
“Membaca kenyataan YB Yeo Bee Yin barulah saya sedar bahawa sesi lawatan dan penerangan kepada wakil-wakil DAP tempoh hari adalah penerangan kepada 'tiang kayu'.

“Isu yang dibangkitkan telah dijelaskan berkali-kali oleh wakil-wakil PERMATA tentang batasan dari segi akta parlimen,” katanya.

Lihat Komen
ADS