Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan jarum atau suntikan serta kecederaan pada tubuh abang presiden Korea Utara, King Jong-nam.

Katanya, penemuan itu berdasarkan bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu.

"Kita mendapati dia tidak sakit jantung.

"Kita mendapati tidak ada kesan jelas terdapat kesan suntikan dan luka," katanya pada sidang media di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Noor Hisham berkata bedah siasat itu dijalankan oleh pasukan bedah siasat Pakar Perunding Forensik yang berpengalaman luas.

"Mayat ini telah menjalani pemeriksaan bedah siasat yang lengkap termasuk ujian komputer tomografi, bedah siasat luaran dan dalaman dan pemeriksaan forensik pergigian," katanya.

Menurutnya, spesimen DNA Jong-nam telah pun dihantar ke bahagian makmal kimia untuk diakreditasi serta dianalisis bagi mengetahui punca kematiannya.

“Pengendalian mayat telah dikendalikan dengan penuh hormat dan spesimen-spesimen medicolegal yang telah diambil juga telah dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang untuk menjaga rantaian bukti.

“Spesimen medicolegal tersebut telah diserahkan kepada pegawai penyiasat polis sejurus selepas pemeriksaan bedah siasat untuk dihantar ke makmal yang telah diakreditasi untuk menjalankan analisis.

“Analisis bertujuan untuk mengesahkan identiti si mati dan juga punca kematian, di mana keputusan makmal masih dalam proses. Tiada bedah siasat kedua dijalankan ke atas si mati,” katanya.

Jong-nam mati pada 13 Februari lalu ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau sebelum itu dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.

Lihat Komen
ADS