Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengarah, banduan didakwa gubah wang haram RM1.5 juta

Seorang pengarah syarikat dan seorang banduan, masing-masing dihadapkan di Mahkamah Sesyen berasingan di Seremban hari ini atas pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM1.5 juta bagi tempoh Ogos 2014 sehingga September 2016.

Mohd Liza Azmie Md Darus, 47, dan Md Shah Shairie Abdul Rahman, 34, yang sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan menipu, mengaku tidak bersalah selepas 10 dan 12 pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Fathiyah
Idris dan Hakim G. Ramesh.

Mohd Liza menghadapi 10 pertuduhan menerima, menggunakan dan memiliki wang serta harta hasil aktiviti haram sebanyak RM989,888 di empat lokasi di daerah ini, antara 12 Ogos 2014 hingga 1 September 2016.

Pertuduhan lain ialah menerima wang hasil daripada aktiviti haram itu sebanyak RM355,000 antara 12 Ogos 2014 hingga 15 Disember 2014 di dua lokasi dan menggunakan RM265,518 hasil daripada aktiviti haram itu bagi membeli satu unit hartanah di Sikamat dan di Seremban antara 27 Ogos 2014 hingga 10 Jun 2015.

Tertuduh juga didakwa memiliki wang tunai RM369,370 dan harta alih iaitu dua utas gelang emas, dua utas rantai leher emas dan dua buah loket emas hasil daripada aktiviti haram di Taman Sri Pulai, Sikamat di Seremban pada 20 Januari 2016.

Hakim Fathiya membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim diikat jamin RM150,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Md Shah yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan menipu pula menghadapi 12 pertuduhan menggunakan wang berjumlah RM594,500 hasil aktiviti haram itu bagi pembelian satu unit hartanah di Setul dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di dua bank di daerah ini antara 20 hingga 25 Mei 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama yang
membawa hukuman denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan .

Mahkamah menetapkan 6 April untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Ashikin Mokhtar. -Bernama

Lihat Komen
ADS