Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan wanita maut ditembak
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 6:13 AM
Dikemaskini: 10:19 PM

Seorang ahli perniagaan wanita maut ditembak semasa memandu kereta BMW pada kira-kira 5.45 petang semalam di Taman Pekaka 1, Glugor dekat George Town.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Zainol Samah berkata mangsa berusia 49 tahun itu memandu kereta miliknya itu seorang diri apabila dihampiri dua lelaki menunggang motosikal dan melepaskan lebih 10 das tembakan ke arahnya.

"Mangsa dikenal pasti seorang ahli perniagaan dalam bidang logistik perkapalan itu telah ditembak lebih 10 das dari cermin sisi pemandu. Daripada 10 tembakan itu enam das tembakan mengenai dadanya.

"Kereta dipandu mangsa kemudian hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah pacuan empat roda di hadapannya sebelum melanggar tembok sebuah rumah di jalan Lintang Pekaka, di sini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati dakwaan bahawa mangsa ialah isteri kepada seorang anggota geng kongsi gelap bergelar "Datuk Seri" adalah tidak benar.

"Kita juga sedang siasat sama ada mangsa sedang mengandung atau sebaliknya," katanya.

Zainol berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan dan memohon semua pihak untuk tidak memutarbelitkan kejadian itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis sedang memburu dua suspek terbabit, dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan sekitar.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

- Bernama

Lihat Komen
ADS